SHAH ALAM - "Saya bersama anda semua.. saya cakna nasib guru duka lara dan berilah waktu, saya bukan menentang anda semua."

Demikian kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika mengulas mengenai permohonan guru duka lara.

Menurut Maszlee, beliau faham setiap orang ada masalah berbeza dan pihaknya akan melihat satu per satu.

"Satu harapan saya kepada guru, dalam kita ingin profesion perguruan dipandang tinggi.. ada yang perlu berkorban.

"Walaupun di pihak guru sudah berkorban.. suami juga perlu berkorban.  Suami kena berkorban untuk isteri sebagai tanggungjawabnya dan guru perlu berkorban untuk anak bangsa.

"Setiap hari saya akan bertanya kepada bahagian terbabit mengenai kes dan jumlah guru duka lara..," katanya.

Kata beliau, terdapat kekurangan guru yang amat sangat di Sabah, Sarawak, Selangor, Langkawi dan JOhor manakala mendapat permohonan pertukaran yang tinggi untuk balik ke Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Justeru, saya mohon kepada ibu bapa, pengetua dan guru besar, berilah dukungan kepada guru ini (guru duka lara) supaya mereka boleh bekerja dalam suasana yang seronok," katanya.