SEPANG: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) melanjutkan memorandum persefahaman dengan dua agensi akreditasi luar negara, masing-masing dari Australia dan Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pemeteraian MoU itu bagi mengukuhkan hubungan sedia ada serta meningkatkan kerjasama teknikal antara pihaknya dengan dua agensi berkenaan.

"Jalinan itu membolehkan MQA bertukar maklumat dan membolehkan pegawai MQA untuk saling mempelajari antara satu sama lain.

"Kerjasama ini termasuk melaksanakan peraturan dan tanggungjawab berkaitan jaminan kualiti dengan lebih efektif serta meningkatkan pemahaman berkenaan pendekatan yang diambil oleh semua agensi ini dalam menjamin kualiti pendidikan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani kedua-dua MoU berkenaan di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Hadir sama menyaksikan majlis ringkas itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti), Prof Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Ketua Penolong Pengarah (Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa menjalankan tugas Pegawai Undang-undang), Nor Hafizah Mohd Arip.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

MoU dengan Tertiary Education Quality and Standards Agency (TEQSA), Australia berkuat kuasa selama tiga tahun bermula dari tarikh pemeteraiannya 1 April lalu. Dokumen MoU TEQSA ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alistair Maclean.

Sementara itu, jalinan kerjasama dengan National Institution for Academic Degrees and Quality Enhancement of Higher Education (NIAD-QE), Jepun pula berkuat kuasa selama lima tahun bermula dari tarikh sama. Dokumen MoU dengan MQA ditandatangani, Presidennya, Dr Fukuda Hideki.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, dari segi pembangunan kapasiti, dua MoU itu bakal membuka peluang pembangunan pegawai MQA bagi mengikuti program pertukaran staf di dua agensi berkenaan dan sebaliknya.

"Inisiatif ini akan memperkasa kerjasama aktiviti jaminan kualiti dan akreditasi pada masa akan datang, seterusnya mengukuhkan kedudukan MQA sebagai autoriti global dalam jaminan kualiti pendidikan tinggi yang mempunyai sistem jaminan kualiti diperakui di peringkat antarabangsa.

"Melalui jalinan menerusi kedua-dua MoU ini juga mobiliti pelajar akan dapat ditingkatkan," katanya.

Artikel menarik

Cikgu Aidil Azahar aktif dalam dunia kebajikan, jadi sumber rujukan warga guru

'Setahun sebagai KPPM, saya akui cabaran paling getir ketika negara berdepan Covid-19' - Dr Habibah