KUALA SELANGOR - Siapa sangka dengan menabung minimum RM30 sebulan untuk setiap empat akaun anak-anaknya menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) sejak dua tahun lepas, seorang guru dari Pulau Pinang, Siti Sara Arshad, membawa pulang sebuah kereta Proton X70 Premium selepas muncul pemenang Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2019.

Hadiah berkenaan diserahkan oleh Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid di Pusat 4S Proton.

Menurut Siti Sara, 53, beliau mula menabung di SSPN sejak 2018 kerana tertarik dengan kelebihan yang ditawarkan PTPTN kepada pendeposit.

“Sebagai pendeposit SSPN, saya layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000, patuh syariah selain mendapat perlindungan takaful dan khairat kematian,” katanya ketika ditemui di sini. Turut hadiri Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Siti Sara yang merupakan Penolong Kanan Pentadbiran di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Widuri, Sungai Jawi, Pulau Pinang berkata, beliau menabung RM30 sebulan dalam setiap akaun SSPN milik empat anaknya tanpa gagal sejak 2018.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini, PTPTN menawarkan promosi Jom Beraya Jom Menyimpan Bersama SSPN #RayaDiRumah yang menawarkan hadiah berbentuk duit raya dengan nilai keseluruhan RM261,000.

Promosi yang berlangsung pada 18 Mei sehingga 30 Jun ini terbuka kepada semua pendeposit SSPN.

“Bagi setiap simpanan berjumlah RM300, mereka layak menyertai cabutan di peringkat negeri dan nasional. Ibu bapa yang berminat boleh membuka akaun atau menambah simpanan dalam SSPN dengan melayari laman web www.lovesspn.com,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi SSPN, beliau berkata bagi tiga bulan pertama tahun ini, prestasi tabung pendidikan berkenaan dilihat sentiasa meningkat.

“Bagi tiga bulan pertama tahun ini, walaupun (termasuk) berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, jumlah keseluruhan deposit SSPN adalah RM385.34 juta berbanding RM250.32 juta untuk tempoh yang sama pada tahun lepas,” katanya.

Artikel menarik:

10 tip diet sihat untuk pelajar amalkan bila sekolah dibuka. Guru-guru pun boleh juga cuba

Dapat A bahasa Inggeris SPM 2019, Cikgu Rizal hadiahkan ini pada pelajar. Murahnya hati seorang guru

Ketahui 18 SOP sesi persekolahan PKPP