PETALING JAYA -  Seramai 43 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist, Petaling Jaya, menerima wang agihan zakat daripada Syarikat Pelaburan Hartanah Berhad (PHB).

Penyampaian dibuat dalam satu majlis anjuran SK Methodist dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Dewan Semarak Ilmu sekolah itu.

Yang Dipertua PIBG, Muhammad Faizal Abd Rashid dalam ucapannya berkata, beliau berharap dengan bantuan zakat yang disampaikan itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung keluarga.

Seramai 49 murid di ketuai Ustaz Muhd Zul membacakan ayat suci Al-Quran

"Semoga lebih banyak lagi agensi dan badan korporat yang sudi membantu golongan yang memerlukan ini," katanya.

Antara yang menerima sumbangan ialah tiga beradik M. Aidil (Tahun Empat), M. Aireyll (Tahun Dua) dan  M. Azeem Zulkeflli (Tahun Satu) yang mempunyai 11 orang adik beradik.

Turut menerima sumbangan Raja Khairunisa’ (Tahun Lima) dan Raja Khairulnaim Raja Kamalrulazman (Tahun Empat) yang bapanya cacat penglihatan.

Murid sama-sama mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran.

Dalam majlis sama, turut dianjurkan majlis khatam al-Quran yang bertujuan meningkatkan penghayatan bacaan al-Quran dalam kalangan warga sekolah terutamanya  murid beragama Islam bagi Tahun Empat, Lima dan Enam.

Majlis tersebut adalah rentetan daripada program Tadarus Al-Quran yang bermula sejak awal Ramadan lalu dan membabitkan 49 murid yang bertadarus al-Quran pada setiap waktu rehat secara berkumpulan.

Program tersebut merupakan aktiviti tahunan SK Methodist setiap kali bulan puasa.