Empat beradik, selamat dalam tragedi kebakaran selepas kediaman mereka di Pangsapuri Seroja, Jalan Setia Murni, Setia Alam, hangus dijilat api pada 21 April lalu.

Kejadian pukul tujuh pagi itu menyebabkan rumah yang berada di tingkat tiga itu musnah, termasuk harta benda dan keperluan lain.

Menurut bapa mangsa, Adik Cendera Syahril, 31, kesemua anak mereka tidak mengalami sebarang kecedaraan. Bagaimanapun buku dan pakaian sekolah tiga anak mereka, Puteri Nabila Adik Cendera, 12, Puteri Nazwa Casandra Adik Cendera, 10, dan Muhammad Rizky Alfhatan Adik Cendera, 7, yang bersekolah di SMK Setia Alam dan SK Setia Alam tidak dapat diselamatkan.

Ibu kepada empat anak ini, Epi Irawati Marzuki, 31 berkata, kejadian tersebut berlaku ketika anak-anak masih lagi tidur.

“Saya tersedar dan terkejut apabila melihat api sedang marak di bilik anak. Saya segera kejut suami dan menarik anak keluar dari rumah, sebelum minta tolong jiran tetangga memadamkan api, sementara menunggu bomba sampai” katanya.

Ujar suri rumah ini lagi, kebakaran tersebut berjaya dipadamkan lebih kurang jam 8.45 pagi.

“Buat masa ini, kami sekeluarga menumpang di rumah kawan. Atas bantuan dan sumbangan dari jiran, anak-anak dapat pergi sekolah macam biasa,”katanya.

Antara bantuan yang diperlukan, pakaian sekolah untuk pelajar perempuan berumur 13 tahun, baju sekolah rendah lelaki berusia tujuh tahun, pakaian sekolah rendah perempuan berusia 10 tahun, pakaian harian, buku sekolah, beg sekolah dan kasut sekolah.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh hubungi Epi Irawati Marzuki di talian, 017-213 3751, atau akaun no 220765071175 ( Bank Rakyat )