SHAH ALAM - Cadangan pelaksanaan semula Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)  tidak dibincangkan dalam mesyuarat Kementerian Pendidikan (KPM) kelmarin.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching sebaliknya berkata,  perkara itu hanya disebut dalam kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr  Mahathir Mohamad yang memangku jawatan Menteri Pendidikan.

“Perkara itu bukan dalam agenda mesyuarat dan kita tidak bincangkan  perincian seperti garis masa dan pelaksanaannya.  Itu hanya kenyataan pembukaannya ketika mesyuarat yang bermakna belum ada keputusan rasmi (tentangnya).

“Walaupun jika beliau berkata demikian, kementerian perlu mengkaji lebih lanjut perkara itu,” katanya  menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily  semalam.

Nie Ching berkata demikian ketika ditemui beberapa pemberita  media berbahasa Cina dalam satu program di Kuala Lumpur kelmarin bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir pada satu mesyuarat tertutup dengan KPM di Putrajaya kelmarin.

Dalam rakaman video yang turut disiarkan dalam akaun Youtube  rasmi Pedana Menteri, Dr Mahathir  dilaporkan berkata, PPSMI akan dikembalikan dalam sistem  pendidikan negara selepas ia dimansuhkan secara berperingkat pada 2012.

Dr Mahathir berkata, kedua-dua mata pelajaran itu berbeza dengan  yang lain kerana ia bukan bidang  ilmu yang diolah dari negara ini tidak seperti Sejarah dan  Geografi.

Sementara itu, Nie Ching berkata, secara peribadi beliau berpendapat  bahawa Dr Mahathir hanya menyuarakan pandangan dan visinya sendiri terhadap pendidikan.

“Beliau melihat kemahiran bahasa Inggeris merupakan perkara penting dalam komunikasi dan pekerjaan.

“Saya fikir kita tidak bincangkan pengenalan semula PPSMI. Ia boleh juga (melalui) pengukuhan Dual Language Programme (DLP) seperti yang dilaksanakan di  Sarawak,” katanya.

Artikel Lain:

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Murid mengantuk dalam kelas...Cikgu Herryan Syah sediakan 11 idea menarik untuk guru-guru cuba

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi

Cikgu ini kongsi cara hafal sifir dalam masa sehari - Murid-murid pasti dapat skor Matematik nanti