SHAH ALAM - Sistem pendidikan negara masih belum bersedia untuk melaksanakan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana masalah kekurangan guru yang berkemahiran.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan  Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, perkara asas itu merupakan permasalahan yang timbul ketika pelaksanaan dasar berkenaan 11 tahun lalu.

Menurutnya, kerajaan perlu meneliti dan mengatasi perkara tersebut sebelum mengembalikan semula dasar tersebut.

“NUTP menyokong sebarang usaha bagi meningkatkan kualiti Bahasa Inggeris di negara kita, tetapi kita mahu melihat kerajaan meneliti semula permasalahan PPSMI yang telah dilaksanakan 11 tahun lalu.

“Bermakna kita kena tengok balik permasalahan yang timbul terutama dari segi kesediaan  guru-guru yang berkemahiran yang boleh menguasai Bahasa Inggeris  untuk mengajar. Kalau kita lihat pada sejarah lama, antara masalah besar sekali adalah dari segi kesediaan guru.

“Kita masih kekurangan guru-guru berkemahiran dalam Bahasa Inggeris. NUTP memohon agar kerajaan meneliti semula kajian-kajian lama yang telah dibuat. Jika permasalahan tersebut boleh diatasi, saya rasa barulah kerajaan boleh melaksanakan dasar PPSMI,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, meskipun dengan kecanggihan teknologi, guru tetap menjadi elemen penting dalam sistem pembelajaran.

“Dalam pendidikan, benda paling asas kena ada ialah guru. Teknologi adalah sebagai sokongan. Paling penting ialah guru. Dalam mendidik, sentuhan guru ini amat penting," katanya.

Artikel Lain:

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Murid mengantuk dalam kelas...Cikgu Herryan Syah sediakan 11 idea menarik untuk guru-guru cuba

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi

Cikgu ini kongsi cara hafal sifir dalam masa sehari - Murid-murid pasti dapat skor Matematik nanti