SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap masyarakat tidak salah faham dengan saranan supaya guru tidak dibebankan  dengan tugas yang banyak dan melabel golongan pendidik sebagai malas atau ingin lari daripada tugas.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan  (NUTP), Harry Tan berkata, pihaknya  mengalu-alukan saranan Kementerian Pendidikan kepada guru besar atau pengetua sekolah supaya tidak memberikan tugas yang banyak kepada guru-guru.

“Bagaimanapun, NUTP bimbang masyarakat akan salah faham terhadap saranan ini dan justeru menuding jari  bahawa pihak guru malas dan hendak lari daripada tugas.

“Pada tanggapan kami, saranan ini adalah ekoran daripada inisiatif Menteri  Pendidikan yang ingin mengurangkan  kerja-kerja dokumentasi atau tugas yang tidak relevan atau kurang relevan kepada guru yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran di kelas.

“Contohnya, membuat kerja penduaan seperti mengisi buku jadual  kedatangan dan juga aplikasi kehadiran  secara online, mengisi borang kebersihan dan makanan di kantin serta mengisi borang tandas.

“Tetapi, pada masa yang sama, Menteri Pendidikan juga telah mencadangkan agar lebih banyak masa bersemuka diwujudkan di antara pihak guru dan murid.

Inilah proses asas untuk ke arah kemenjadian  murid,” katanya  kepada Sinar Harian, semalam.

Harry berkata, guru-guru seharusnya diberi lebih banyak masa untuk membuat persediaan mengajar, mendidik, menjalankan aktiviti kokurikulum, akademik,  menyemak buku-buku murid serta mengadakan sesi urus libat dengan pihak ibu bapa.

“Jadi di sini, pihak kami ingin tegaskan bahawa kerja guru tidak akan dikurangkan tetapi  masa untuk mereka mendidik murid-murid akan ditingkatkan,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: KPM nasihatkan guru besar, pengetua nilai semula agihan tugas agar guru tidak terbeban]

[ARTIKEL BERKAITAN: Beri sedikit masa kepada pengetua, guru besar sesuaikan kaedah baharu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Wawancara Khas: Datuk Amin menjelaskan beberapa isu dan hala tuju pendidikan (Siri 1)]