Shah Alam - Lima pasukan debat yang terdiri daripada 15 pelajar Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya bakal mengharumkan nama negara melalui penyertaan Pertandingan World Scholar's Cup (WSC) 2019 yang akan berlangsung di Beijing, China bermula 21 hingga 26 Jun ini.

Guru Bahasa Inggeris SSP, Melissa Mohd Kamal berkata, penyertaan itu adalah kali kedua setelah SPP menyertai pertandingan sama yang dianjurkan di Dubai pada 2013.

"Pertandingan ini merupakan lanjutan penglibatan SSP dalam pertandingan Debat Bahasa Inggeris di peringkat antarabangsa.

"Kumpulan pelajar-pelajar ini telah memenangi beberapa kategori di peringkat wilayah di World Scholar’s Cup di Kuala Lumpur pada Mac yang lalu.

"Alhamdulillah, SSP sekali lagi berjaya ke peringkat seterusnya dan tahun ini kami melihat tiga pasukan berpotensi untuk mengharumkan nama negara seterusnya layak ke Tournament of Champion di Universiti Yale," katanya.

Mengulas lanjut, Melissa berkata, beliau yakin tahap kesediaan pelajar-pelajarnya kini sudah mencapai lebih 80 peratus.

"Kita mula berlatih sejak bulan puasa lagi dan apa yang kita lihat pelajar-pelajar ini sanggat bersemangat dan tekun membuat persiapan.

"Kita juga akan mengundang pakar-pakar debat untuk berkongsi pengalaman dan memberi tunjuk ajar kepada peserta supaya lebih berkeyakinan," katanya.

Kata lagi, WSC adalah platform di mana pelajar dapat mempamerkan kebolehan masing-masing mereka di persada dunia.

"Penyertaan ini akan disertai banyak negara di seluruh dunia termasuklah Amerika Syarikat, negara-negara Eropah dan juga Asia.

"Tujuan penyertaan pelajar pada pertandingan ini adalah untuk menguji keupayaan pendebat SSP di lapangan antarabangsa di samping dapat menimba seberapa banyak pengalaman dan kemahiran daripada rakan pendebat dari negara lain.  

"Penyertaan ini tidaklah memberi fokus kemenangan sepenuhnya, tapi sebagai platform kepada pelajar untuk lebih menguasai kebolehan masing-masing," katanya.