SHAH ALAM: Kerjasama daripada ibu bapa, pihak sekolah dan agensi berkaitan dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) adalah panduan terbaik untuk mengatasi kes Covid-19 yang semakin menular di sekolah seluruh negara.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Ali Hasan, berkata antara tindakan terbaik dalam membendung peningkatan kes ialah melakukan sanitasi secukupnya, tidak menghantar anak ke sekolah jika bergejala dan terus amalkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Ibu bapa juga memainkan peranan penting bagi memantau keadaan kesihatan dan kebersihan sekolah agar selamat digunakan oleh semua pelajar yang hadir ke sekolah,” katanya memetik kenyataan yang dikeluarkan dalam Sinar Harian pada Isnin.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Ali Hasan.

Semalam, sebanyak 19 sekolah di Selangor diarah tutup selepas kes jangkitan Covid-19 dikesan berlaku di sekolah terbabit.

Melalui surat pekeliling dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling, arahan penutupan itu dilaksanakan bagi membolehkan kerja pembasmian kuman dan saringan kontrak rapat dilakukan.

Sekolah yang diarahkan tutup adalah Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari Subang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong, Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Perdana, SK Bandar Baru Sri Damansara 2, SK Bukit Kuchai dan SMK Bandar Sri Damansara 2.

Turut diarahkan tutup juga adalah SK Bandar Sri Damansara 3, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, SMK Damansara Jaya, SK Bukit Jelutong, SMK Seksyen 7, SK USJ 20, SMK USJ 23, SMK Puchong dan SMK Puchong Utama 1.

Selain itu, SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara, SMK Bandar Puncak Jalil, SMK Seksyen 20 dan SMK Puchong Perdana.

Susulan itu, pihak sekolah diarahkan menjalankan proses nyahkuman selain memastikan kontak rapat kepada kes positif, dikuarantin.

Kesemua sekolah terbabit diarahkan tutup mengikut Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bermula hari ini sehingga satu tarikh yang dimaklumkan.

Gambar hiasan daripada Google.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma), [email protected] Mohamed berkata, peningkatan kes di sekolah boleh dibendung jika pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Tiada masalah jika patuh SOP. Sekolah berasrama contohnya mempunyai SOP yang lebih ketat iaitu pelawat mahupun ibu bapa tidak dibenarkan sama sekali masuk di kawasan sekolah,

“Ia mengurangkan lagi risiko penularan kes Covid-19 di sekolah berasrama penuh (SBP)berbanding sekolah harian kerana mereka tidak terlibat dengan kontak luar,” katanya.

Kamsah turut menegaskan keselamatan pelajar paling penting walau apa jua cara pembelajaran.

“Pihak sekolah paling mementingkan keselamatan pelajar. Jika kes naik dan ada arahan untuk tutup sekolah, kami terpaksa tutup,

“Tak kisah belajar di sekolah mahupun PdPR, yang penting pelajar dapat belajar dengan selamat dan sihat,” kata beliau.

Gambar hiasan daripada Google.

Pakar virologi, Profesor Dr Sazali Mohamad, pula menegaskan tidak wajar sekiranya semua sekolah ditutup walaupun sesebuah negeri itu merekodkan kes harian positif Covid-19 yang tinggi.

Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan oleh setiap organisasi pendidikan adalah memastikan prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan kendiri pelajar dapat dilaksanakan secara maksimum.

“Sekiranya berlaku juga kes jangkitan, itu memberi makna bahawa pelaksanaan SOP adalah rendah. Maksudnya, masih tidak ketat.

“Jika kegagalan itu berlaku, bukan bermakna semua sekolah perlu ditutup kecuali sekolah yang terlibat (jangkitan Covid-19) sahaja perlu ditutup,” katanya lagi.

Artikel menarik

Dua pelajar tajaan MyPAC bangkit daripada kegagalan, harum nama Malaysia di peringkat dunia

Pendidik perlu pamerkan contoh yang baik kepada murid - Sheikh Mohd Zaki