SHAH ALAM - Kunjungan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Yong Peng, Johor ke Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf), baru-baru ini memberi satu pengalaman menarik kepada pesertanya.

Selain melihat proses penerbitan buku, mereka juga berpeluang mengetahui lebih terperinci mengenai peranan media pada masyarakat.

Menurut Penyelaras Program, Azizan Sam, murid SK Ladang Yong Peng mungkin belum terdedah dengan dunia media yang semakin meluas sekarang ini.

“Dunia mereka mungkin hanya di sekolah sahaja. Jadi, bila datang ke Karangkraf, sekurang-kurangnya mereka dapat membezakan apa itu media cetak dan juga media elektronik,” ujarnya yang juga Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Ladang Yong Peng.

Cikgu Azizan berkata, SK Ladang Yong Peng adalah sebuah sekolah yang agak terpencil.

Kebanyakan murid di sekolah itu tidak terdedah dengan dunia media dan tidak mengetahui secara mendalam bagaimana sesebuah cerita itu ditularkan.

“Jadi, bila kami datang ke Karangkraf, barulah murid-murid ini tahu apa itu cerita 'viral' melalui keterangan yang disampaikan oleh kakitangan Karangkraf.

“Selain itu, sebagai pendidik juga, kami juga ada menerangkan mengenai artikel yang disiarkan sama ada dalam media cetak atau elektronik," katanya.

Kata Azizan, guru sekolah itu sering menjadikan berita di surat khabar sebagai bahan pengajaran.

“Kami bawa masuk artikel tersebut sebagai bahan pembelajaran.. kami sama-sama buat kajian, berbincang, bersoal jawab dan mencari kesahihan artikel itu. Murid dan guru pun seronok,” jelasnya.

Seramai 47 murid tahun 4 hingga 6 termasuk beberapa guru pengiring menyertai lawatan ke Karangkraf.

Dengan program sehari yang dinamakan 'Kecil Dalam Peta, Besar Di Mata Dunia.. Kembara Anak Ladang' itu, diharapkan rombongan dapat bawa pulang pelbagai ilmu dan pengetahuan mengenai media cetak dan elektronik.

 

Peserta seronok dapat berkunjung ke Karangkraf.

 

 Cikgu Azizan

 

 Eksekutif Perhubungan Awam, Kesuma Amar memberi penerangan mengenai Karangkraf kepada warga SK Ladang Yong Peng.