Pegawai kesihatan daerah kini memantau keadaan di sekolah-sekolah yang dikesan wujud jangkitan influenza A sebagai usaha mengekang penularan wabak tersebut dalam kalangan pelajar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian sentiasa mempertingkatkan aktiviti pemantauan secara berterusan terutama di lokasi yang lebih terdedah dengan penyakit itu.

“Kita turut mengingatkan supaya pihak berkenaan di fasiliti (sekolah) mengambil langkah sepatutnya supaya penularan wabak tersebut dapat dibendung,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu pada sidang akhbar selepas majlis sumbangan untuk fakir miskin sempena Tahun Baharu Cina di Tokong Tian Hock di sini semalam.

Ditanya mengenai isu kehabisan stok bekalan vaksin influenza, Dr Dzulkefly berkata, setakat ini bekalan vaksin itu mencukupi.

“Pada peringkat awal mungkin berlaku kehabisan stok di fasiliti kesihatan swasta tetapi perkara ini telah kita atasi.

“Kita memberi jaminan bahawa stok vaksin influenza ini mencukupi bagi memenuhi permintaan di negara kita,” katanya.

Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.