SHAH ALAM- Seramai 65 pelajar asnaf bersama tujuh guru dari 15 sekolah berbeza sekitar Besut, Terengganu mengadakan lawatan sambil belajar di kilang percetakan SINAR HARIAN, 27 November lalu.

Lawatan tersebut memberikan pendedahan berkaitan proses percetakan surat khabar yang diterbitkan SINAR HARIAN.

Kaunselor, SMK Renek Besut, Cikgu Siti Ajar Ahmad berkata, lawatan sambil belajar kali ke 15 ini adalah tajaan sepenuhnya Alumni Tengku Mahmood (TMESA).

“TMESA adalah gabungan alumni yang terdiri daripada ahli koprat yang berasal dari Besut. Objektif utama mereka adakan ingin membangunkan anak-anak Besut ini menjadi insan berjaya pada masa akan datang,”katanya.  

Cikgu Siti Ajar Ahmad

Antara sekolah yang terpilih dalam lawatan ini adalah, SMK Renek, SMK Tg Mahmud 2, SMKA Wataniah, SMK Dato’ Razali Ismail, SMK Alor Peroi, dan SMK Kuala Besut.

“Di sini mereka di dedahkan bagaimana buku dan akhbar itu dicetak, siapa penulis, dan apakah tugas sebenar seorang wartawan.

“Melalui lawatan ini secara tidak langsung memberikan pendedahan secara terus, bagaimanakah cara untuk menjadi seorang wartawan dan penulis yang hebat,”katanya.

Menurut guru asal Melaka ini, setiap sekolah di Terengganu diwajibkan mempunyai wartawan sendiri. Wartawan yang bertugas akan melaporkan setiap program sekolah dan akan dimuat naik di media sosial.

“Pelajar-pelajar asnaf ini sebenarnya sangat pemalu. Kurangnya pendedahan terhadap dunia luar membuatkan mereka sentiasa berasa rendah diri dan pendiam.

“Menerusi lawatan ini, sedikit sebanyak dapat membuka minda mereka tentang dunia luar, selain didedahkan dengan peluang pekerjaan yang menanti mereka pada masa akan datang,”katanya.

Menurut guru asal Melaka ini, menerusi lawatan tersebut pelajar dapat memahami dari awal, apakah target yang perlu mereka capai dalam akademik. Ia secara tidak langsung, mendidik pelajar itu untuk mempasakkan azam dan hala tuju masing-masing untuk berjaya.

“Mereka ini adalah pelajar asnaf yatim piatu, kadar pelajaran mereka juga sederhana dan kebanyakannya tinggal dengan datuk dan nenek di kampung.Walau bagaimanapun mereka mempunyai potensi untuk meningkat dalam pelajaran.

“Atas usaha dan rasa tanggungjawab, pelajar-pelajar asnaf ini diberikan ibu bapa angkat dalam kalangan ahli koprat TMESA. Sesetengahnya di taja pengajian mereka sehingga berjaya,”katanya.

"Rasa seronok, peluang dapat belajar perkara baru," Nor Elia Maisarah Hussin, Tingkatan Empat, SMK Tengku Mahmud

"Pertama kali datang, banyak yang saya belajar sepanjang lawatan," Ashraff Aiman Awang, Tingkatan Empat, SMK Kuala Besut

"Ini peluang terbaik untuk kami lihat secara dekat, bagaimana proses membuat akhbar,"Nor Aida Md Zali, Tingkatan Empat, SMK Pelagat

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain