SUNGAI BESAR - Pelajar di daerah ini dinasihat agar jangan terlibat dengan jenayah dan perkara  yang melanggar undang-undang.

Ketua Polis Daerah Sabak  Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, mereka sebaliknya disaran meningkatkan motivasi diri dan memberi tumpuan di dalam kelas.

"Kita berharap tiada masalah  disiplin melibatkan pelajar dan mereka perlu fokus dalam pelajaran,  kokurikulum dan disiplin dalam mencapai cita-cita," katanya pada pelancaran Program Back To School bersama PDRM di Dewan Bestari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, di sini.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak  Bernam, Deputi Superintendan Lim  Chee Khoon dan Pengetua SMK Sungai Besar, Saroni  Tasuki.

Pada program itu, Nor Azmi turut menyampaikan watikah perlantikan  kepada 80 pengawas sekolah  berkenaan.

Nor Azmi berkata, PDRM sentiasa berusaha membantu pihak sekolah dalam meningkatkan tahap disiplin pelajar.

"Kita turut menempatkan pegawai polis sebagai Pegawai Perhubungan  Sekolah (PPS) di setiap sekolah di daerah ini.

"Dengan adanya program  seperti ini dapat mengeratkan hubungan PDRM dengan pihak  sekolah dalam memastikan keselamatan dan disiplin pelajar dapat dipantau dari masa ke semasa," katanya.

Dalam pada itu, Nor Azmi menegaskan pelajar perlu mematuhi  peraturan jalan raya dan aspek keselamatan khususnya  kepada pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah.

"Pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah dinasihatkan  memenuhi syarat seperti  memiliki lesen memandu, cukai jalan kenderaan yang sah dan memakai topi keledar," katanya.