KLANG - Pelajar disarankan supaya memiliki daya saing yang tinggi ke arah melahirkan generasi yang inovatif dalam semua bidang.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (1) Simpang Lima, Aruzzita Mohd Sadri berkata, ke arah mencapai sasaran berkenaan, segala dasar dan pelan pendidikan yang terbaik tidak dapat direalisasikan tanpa komitmen dan dedikasi guru.

“Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan seimbang dan holistik tidak akan tercapai tanpa peranan dimainkan oleh guru dan ibu bapa.

Barisan AJK yang bertungkus-lumus memastikan program berjalan dengan lancar.

"Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam mendidik dan pihak sekolah amat mengalu-alukan sumbangan daripada ibu bapa merangkumi tenaga, wang ringgit mahupun idea," katanya berucap merasmikan Majlis Tamat Persekolahan Tahun Enam baru-baru ini.

Majlis tersebut diadakan bertujuan untuk meraikan seramai 95 orang pelajar Tahun Enam SK (1) Simpang Lima, bertempat di Hotel Premiere.

Aruzzita menyampaikan anugerah kepada Anish Kuay Juan Aun

Pada ucapan yang sama, Aruzzita turut mengharapkan agar murid berjaya dalam setiap bidang yang diceburi.

"Kepada semua pelajar, hargailah jasa guru-guru dan ibu bapa yang hanya ingin melihat para pelajar menjadi insan yang berguna kepada nusa dan bangsa.

"Jadilah insan yang menghargai harapan tinggi ini dan semoga majlis yang diadakan menjadi kenangan manis sebelum melangkah ke alam sekolah menengah," tambahnya.