SHAH ALAM - Siapa sangka tuah pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kompleks KLIA, Amer Khawarizmi Zulkarnain ini muncul juara dalam Pertandingan Robotik Antarabangsa Kahramanmaras Teknokent di Turki pada 5 Mei lalu.

Amer yang mempertaruhkan dua robot ciptaannya iaitu Autonomous 3KG Standard All Japan Robot Sumo dan Autonomous 500 gram Minisumo meraih kemenangan itu selepas menewaskan tuan rumah selaku pesaing terdekat dan wakil Mexico yang sekadar berpuas hati di tempat ketiga di pusingan akhir.

Kata Amer, dia bersyukur dapat mengharumkan nama negara dalam pertandingan itu dan tidak sangka dapat menewaskan pasukan lain yang berada dalam kelompok terbaik dunia.

"Saya membuat persediaan selama sebulan untuk menyertai pertandingan ini dan menunda tarikh peperiksaan pertengahan tahun yang sepatutnya diduduki semalam serta kelmarin.

"Usaha itu berbaloi selepas meraih kemenangan ini dan terima kasih kepada ayah (Zulkarnain A Nawani, 40) kerana sentiasa membantu saya membuat persiapan dari awal hingga ketika pertandingan berlangsung dengan menjadi pembantu pengendali robot selain mengeluarkan wang poketnya sendiri untuk menemani saya ke pertandingan berkenaan. Tidak lupa juga untuk ummi (Suzana Adenan, 39) dan adik yang memberi sokongan walaupun tidak dapat turut serta ke Turki," jelasnya.

Amer (dua,kanan) dan Zulkarnain (dua, kiri) menunjukkan hadiah kemenangan pada Pertandingan Robotik Antarabangsa Kahramanmaras Teknokent di Turki.

Ibu dan adik Amer turut menyambut kepulangan Amer dan ayah sampai di KLIA pada petang kelmarin.

 

Menurutnya, kemenangan itu lebih bermakna kerana kemenangan itu pada hari lahirnya.

“Kemenangan ini adalah kejayaan kami bersama serta hadiah hari jadi terbaik untuk saya. Syukur, Alhamdulillah,” katanya.

Katanya lagi, dia mahu memberi tumpuan kepada pelajaran sebagai persediaan untuk menghadapi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), selain membuat persiapan untuk Kejohanan Antarabangsa Robot Sumo Penang pada Julai nanti.

"Kejayaan ini adalah pembakar semangat untuk saya berusaha lebih keras bagi mencipta kemenangan buat negara dalam bidang robotik. Wang kemenangan ini akan digunakan untuk mencipta robot baru bagi projek seterusnya.

"Namun pada masa sama, saya tak akan mengabaikan pelajaran kerana mahu turut cemerlang dalam PT3 yang dijadualkan bermula pada Ogos depan," katanya.

Amer yang mendapat tajaan penerbangan daripada syarikat Sumozade Robotics berlepas ke Turki bersama bapanya, Zulkarnain pada 1 Mei lalu dan selamat pulang ke tanah air kira-kira jam 3.50 petang kelmarin.

Kemenangan itu melayakkan Amer membawa pulang piala dan wang tunai 5,000 lira bersamaan RM3,372.

Semoga berjaya Amer Khawarizmi! GPSBestari.com terus mendoakan kejayaan anda.

Amer ketika menerima penghargaan khas oleh pengetua sekolahnya, Norashikin Jantan atas beberapa kemenangan sumo robot yang disertainya pada tahun lalu.

Artikel lain:

KPM akan pastikan dua pelajar SMK Seksyen 18 dapat sambung pengajian di universiti yang dimohon

Ini kata Ustazah Zubaidah tentang dua pelajarnya yang buat semakan semula SPM

'Apa yang saya reti masak saya masak untuk lima adik' - murid tahun enam terpaksa jadi ibu, ayah