Selepas hampir tiga bulan sekolah diarah ditutup berikutan penularan pandemik Covid-19, sesi persekolahan bagi pelajar yang mengambil peperiksaan awam dibuka semula semalam.

Semua sekolah di seluruh negara yang dibuka semula perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta mengamalkan normal baharu.

Di Selangor, sebanyak 96.93 peratus kadar kehadiran ke sekolah bagi Tingka­tan Lima dan Enam dicatatkan semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Izmi Ismail berkata, peratusan itu merangkumi jumlah keseluruhan kehadiran pelajar Tingkatan Lima dan Enam iaitu sebanyak 70,310 pelajar.“Untuk negeri Selangor, terdapat 65,067 pelajar Tingkatan Lima, dan jumlah yang hadir adalah sebanyak 62,940 manakala untuk Tingkatan Enam yang hadir ke sekolah adalah sebanyak 4,770 pelajar daripada 5,068 pelajar,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, pegawai pemantau daripada pejabat pendidikan daerah dan JPNS ditempatkan di setiap sekolah menengah bagi memantau dan memastikan SOP dipatuhi.

Di Perak, seramai 34,150 pelajar telah memulakan sesi persekolahan di seluruh negeri itu semalam.

Tinjauan Sinar Harian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Ipoh mendapati semua pelajar terbabit teruja menghadiri sesi pengajaran dan pembelajaran selepas lebih tiga bulan tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Pelajar orang kurang upaya (OKU), Usamah Ariffin Abdillah, 17, berkata, dia lebih mudah mengikut pembelajaran di dalam kelas berbanding dalam talian.

“Belajar di rumah sukar kerana saya terpaksa pinjam telefon bimbit ibu, tambahan ada masalah liputan internet yang kurang membantu dalam menyiapkan kerja sekolah.

“Saya lebih suka belajar dalam kelas kerana mudah dan senang bertanyakan soalan terus kepada guru kalau tidak faham,” katanya.

Dia yang kudung kaki kanan akibat kemalangan jalan raya tahun lalu menga­kui sedikit sukar menjalani sesi sekolah dalam normal baharu.

“Ia agak susah pada mulanya tetapi ia baik demi keselamatan. Kita semua kena hadapinya,” kata Usamah.

Di Terengganu, seramai 21,901 pela­jar Tingkatan Lima dan Enam daripada 152 sekolah menengah di negeri itu mula mengikuti sesi persekolahan semalam.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kua­la Terengganu mendapati seramai 410 pelajar sekolah itu yang terdiri daripada 196 pelajar Tingkatan Lima dan 214 pelajar Tingkatan Enam teruja dan bersemangat memulakan sesi pembelajaran di kelas dengan berpandukan SOP yang ditetapkan.

Pelajar Tingkatan Lima, Ahmad Aslam Zakaria, 17, berkata, walaupun terpaksa bersekolah dalam suasana baharu, ia sudah cukup menggembirakannya.

“Pergi sekolah lebih baik sebab memang bosan apabila duduk di rumah lama-lama. Walaupun belajar secara online, suasananya berbeza.

“Apatah lagi saya akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, belajar secara berdepan lebih mudah untuk faham terutamanya subjek-subjek sukar,” katanya.

Nurul Aisyah Syakirah Rusli, 17, turut berkongsi pandangan yang sama dan melahirkan perasan gembiranya dapat berjumpa semula guru-guru dan rakan sekolah.“Tapi dalam seronok ke sekolah, saya tetap ingat pesanan mak supaya sentiasa jaga jarak dan pergaulan kerana wabak Covid-19 ini masih ada dan kita belum bebas sepenuhnya,” katanya.

Di Johor, lebih 50,000 pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam melibatkan 234 buah sekolah memulakan sesi persekolahan di seluruh Johor.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perling, Taman Perling, Johor Bahru mendapati seramai 337 pelajar Tingkatan Lima yang terlibat turut teruja memulakan sesi persekola­han semalam.

Pelajar Tingkatan Lima, Lishaa Jayabalan, 17, gembira kerana akhirnya dapat kembali ke sekolah selepas lebih tiga bulan hanya mengulang kaji pelajaran di  rumah.

“Saya bersyukur dapat belajar secara bersemuka bersama guru dan rakan. Ramai pelajar termasuk saya tidak puas hati belajar menerusi aplikasi di internet kerana cara ini agak kekok dan terbatas,” katanya.Adriena Anisa Mohd Ravi, 17, pula berasa tidak bimbang hadir ke sekolah disebabkan wabak Covid-19, sebaliknya dia yakin selamat berada di sekolah.

“Melihat prosedur operasi standard (SOP) ketat yang diamalkan malah semua guru turut memantau pelajar setiap masa, Alhamdulillah tiada kerisauan langsung untuk belajar di sekolah,” katanya.