SHAH ALAM - Pelancaran Buku Panduan Membentuk Akhlak Mulia, hasil kerjasama Karya Bestari, Warisan Ummah Ikhlas dan Sekolah (KAFA) Al-Mujahideen.

Buku PANDUAN MEMBENTUK AKHLAK MULIA merupakan projek CSR (Corporate Sosial Responsibility) di antara Karya Bestari, Warisan Ummah Ikhlas dan Sekolah (KAFA) Al-MUJAHIDEEN yang telah selamat dilancarkan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan sekolah berkenaan, pada 8 Mac 2020 yang lalu.

Disebabkan isu adab dan akhlak yang semakin ‘layu’ dalam kalangan para pelajar hari ini, maka inisiatif diambil dengan menerbitkan naskhah ini. Harapannya agar ia mampu menjadi panduan lengkap dalam membentuk tingkah laku mulia pelajar-pelajar.

Antara keistimewaan buku ini ialah ia ditulis dalam bentuk point ringkas yang merangkumi beberapa adab terdiri daripada; adab menghormati ibu bapa, adab kepada guru, adab berkawan, adab bergaul, adab menjaga harta benda awam, adab menggunakan media sosial dan banyak lagi perbincangan menarik yang ada di dalamnya.

Demi memastikan setiap hujah adalah benar dan tepat, maka pengarang telah menyediakan dalil ayat al-Quran dan hadis sebagai sumber rujukan. Pada masa yang sama juga menekankan bahawa pembelajaran tentang adab ini bukan perkara remeh.

Prof. Dr. Mohd Amir Sharifuddin bin Hashim yang juga merupakan pembimbing projek buku ini berkata, “Mudah-mudahan apabila terbitnya buku ini maka ibu bapa, guru-guru dan murid-murid akan berubah ke arah satu tahap akhlak yang syumul. Dengan itu, akan wujudlah sebuah masyarakat berakhlak tinggi yang mampu menjana kemajuan untuk bangsa, agama dan negara.”