Gelagat murid prasekolah beratur dan menjaga jarak sosial sebelum masuk ke dalam kelas berikutan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam sesi persekolahan bagi mengekang penularan COVID-19. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan hari ini sebagai tarikh pembukaan semula semua prasekolah, tadika dan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di bawah kerajaan mahupun swasta selepas lebih tiga bulan ditutup sejak 18 Mac berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kesemua taman didikan kanak-kanak dikehendaki mengikuti SOP yang ditetapkan seperti SOP waktu ketibaan dan pulang, kedudukan satu meter di dalam kelas dan waktu rehat.

Guru prasekolah Hermah Idris mengajar muridnya Nordiana Husin cara mencuci tangan dengan betul sebelum memulakan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Padas hari ini.

Gelagat murid prasekolah Permata, Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam, beratur dan menjaga jarak sosial sebelum masuk.

Murid-murid prasekolah mengamalkan penjarakan sosial semasa berada di dalam kelas ketika sesi pembelajaran pada hari pertama persekolahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sekolah Kebangsaan Jelutong hari ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Abdul Rashid Abdul Samad (kanan) mengambil bacaan suhu murid-murid prasekolah pada hari pertama persekolahan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semasa melakukan pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) di Sekolah Kebangsaan Jelutong hari ini.

Murid prasekolah Mutiara, Sekolah Kebangsaan Bukit Kalam, memakai pelitup muka ketika tiba di pekarangan sekolah sebelum masuk ke dalam kelas berikutan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam sesi persekolahan bagi mengekang penularan COVID-19 ketika tinjauan pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan hari ini.

Murid prasekolah Sek Kebangsaan Beladau Kolam Kuala Terengganu, Nur Nadhrah Fadhillah Fazru Anuar bersama bekalan makanan di sekolah.

Sumber: BERNAMA