RAWANG – Pemimpin pelajar sesebuah sekolah perlu mempamerkan disiplin yang baik bagi mempengaruhi rakan supaya akur dengan peraturan ditetapkan.

Penolong Pegawai Perhubungan Sekolah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Sarjan Mohd Shahir Shahidan berkata, pengawas khususnya perlu mementingkan imej diri dan menunjukkan teladan baik kepadapelajar lain.

“Mereka juga diingatkan supaya tidak berat sebelah dalam tugas harian kerana jika bersikap pilih kasih, pengawas terbabit tidak akan dihormati malah diperkeleh  rakan sendiri.

“Pengawas tidak kebal mematuhi peraturan sekolah sekali gus mereka  patut berusaha mendisiplinkan diri sendiri kerana menjadi contoh kepada pelajar lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Watikah  Pelantikan 320 pemimpin Pelajar Sekolah 2019 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rawang di Lembayung Kasih.

Hadir sama, Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Rawang, Roslina Mat  Rudin yang juga penyelaras program dan Yang Dipertua PIBG SMK Rawang, Mohamed Saufi Shafie.

Selain pengawas sekolah, SMK Rawang buat julung kalinya menyampaikan  watikah pelantikan kepada pengawas pusat sumber, pengawas koperasi, pengawas sukan, pengawas siber dan ketua serta penolong ketua tingkatan.

Sementara itu, Pengetua SMK  Rawang, Norzalina Abd Kadir berkata, pemimpin pelajar dilantik perlu  sentiasa peka terhadap keadaan yang berlaku dan memberikan cadangan kepada pihak sekolah untuk mengatasi isu.

“Golongan ini juga perlu jadi mata dan telinga pengetua dan guru  disiplin untuk mengenal pasti pelajar  yang ada masalah disiplin dan cuba sedaya upaya ubah sikap mereka.

“Pemimpin pelajar juga perlu pastikan diri sendiri capai prestasi cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah diri,” katanya.