SABAK BERNAM – Pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 daerah Sabak Bernam meningkat berbanding 2015 sekali gus mengatasi GPS negeri dan kebangsaan.

Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Mokhtar Manijo berkata, GPS keseluruhan daerah itu meningkat 0.01 iaitu 4.49 pada 2016 berbanding 5.0 pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, pencapaian itu sekali gus mengatasi GPS negeri iaitu 5.05 dan GPS Kebangsaan 5.10.

“Lapan daripada 16 sekolah di daerah ini telah melepasi Gred Purata Daerah (GPD),” katanya.

Mokhtar berkata, bagi peratus kelulusan berdasarkan lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, daerah itu mencatatkan kelulusan 86.46 peratus dengan peningkatan sebanyak 3.43 peratus berbanding 83.03 peratus tahun lalu.

“Pihak PPD Sabak Bernam merakamkan tahniah kepada calon yang berjaya dengan cemerlang. Begitu juga kepada semua warga pendidik di daerah ini yang terus gigih dan komitmen mendidik anak bangsa mencapai kejayaan dan kecemerlangan,” katanya kepada Sinar Harian.