BERPELUANG menyertai program ke Jepun pastinya menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan bagi 22 pelajar dari empat sekolah ini.

Pelajar bertuah ini berpeluang mengikuti Program Pendidikan dan Kebudayaan Malaysia-Japan selama enam hari bermula pada 23 November lalu di Tokyo dan Chiba, Jepun.

Empat sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Utama (1), SMK Sultan Abdul Aziz Shah, SMK Seri Serdang dan SMK Subang.

Guru Pengiring merangkap Penolong Kanan Pentadbiran SMK Puchong Utama (1) Cikgu Fadzlon Faisal berkata, kesemua pelajar yang terlibat merupakan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat.

“Penyertaan pelajar ini adalah secara sukarela. Pembiayaan ke Jepun ditanggung sendiri oleh ibu bapa mereka,” katanya.

Program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana dengan kerjasama sekolah menengah di PPD Petaling Perdana, Selangor dan Ohara High School, Jepun merupakan program julung kali dianjurkan PPD tersebut.

Ia bertujuan menjalin hubungan pendidikan dengan sekolah di Tokyo, Jepun dan membentuk hubungan dalam kalangan pelajar serta guru dalam mengupayakan sekolah masing-masing.

Selain pelajar, turut mengiringi rombongan ialah Penolong PPD Unit Pengurusan Sekolah PPD Petaling Perdana, Mohamad Hazli Hassan dan guru SMK Sultan Abdul Aziz Shah, Cikgu Junaidah Abdul Ra am.

Cikgu Fadzlon (dua dari kiri) bersama pelajar ketika mengunjungi Asakusa Sensoji Street.

Sesi diskusi antara pelajar di Chiba Kenritsu Oohara High School, Jepun.

Salah seorang pelajar Malaysia (dua dari kiri) bersama keluarga angkat.

Dua pelajar bersama keluarga angkat masing-masing.

Sesi bergambar bersama keluarga angkat di Isumi City.

Pengisian program

Ketika di Jepun, pelajar berpeluang membuat lawatan penanda arasan ke sekolah Chiba Kenritsu Ohara High School, Jepun.

Di sekolah tersebut, mereka belajar cara penyediaan teh mengikut tradisi masyarakat Jepun dan membuat origami.

Selain itu, budaya mereka yang sentiasa mengamalkan nilai sivik juga jelas diamalkan berada di sekolah tersebut.

Seterusnya, rombongan dibawa melawat Ikeburo Life Safety Learning Centre, Kawasaki Eco Inceniration Plant, Asakusa Sensoji Street dan diajar cara-cara membuat sushi.

Lebih menyeronokkan apabila pelajar dibawa ke Disney Sea, sebuah taman tema yang popular di Jepun.   

Sepanjang program, pelajar tinggal bersama keluarga Jepun bagi merasai sendiri pengalaman amalan kebudayaan Jepun di rumah.

Dalam pada itu, Cikgu Fadzlon berkata, program sebegitu yang melibatkan sekolah harian biasa amat jarang dilaksanakan.

“Selalunya, ia melibatkan sekolah berasrama penuh dan sekolah berprestasi tinggi. Namun, pendedahan dan peluang sebegini wajar diberi kepada semua pelajar sekolah harian biasa juga.

“Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) sewajarnya menyokong program pendidikan seperti ini kerana proses pembelajaran bukan sahaja berlaku di sekolah," katanya.

Menurut beliau, keutamaan kini merujuk kepada anjakan daripada sistem sekolah kepada sistem pembelajaran dengan melibatkan ibu bapa, komuniti dan masyarakat sebagai rakan dalam membantu pembelajaran murid.

Tambahnya, sepanjang program, pelajar sentiasa diingatkan mengenai pengurusan masa yang baik dan amalan nilai sivik dalam kebudayaan masyarakat Jepun.

“Walaupun Jepun sangat maju dalam pembangunan dan teknologi, budaya dan tradisi masyarakat mereka masih utuh dan diamalkan sehingga sekarang.

"Lebih mengagumkan amalan kitar semula yang diamalkan di Jepun sangat sistematik dan boleh dijadikan contoh kepada masyarakat di negara kita," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pelajar yang terlibat dapat menjadi pencetus kepada ejen perubahan di sekolah ibarat pepatah inggeris ‘A small change can make a big difference’ dan peribahasa Jepun ‘ichi-go ichi-e’ yang bermaksud sekali seumur hidup.

Pelajar turut diajar cara membuat sushi.

Pelajar Jepun mengajar pelajar dari Malaysia membuat origami.

 Pelajar mencuba simulasi cara menggunakan alat pemadam api yang betul di Life Learning Centre.

 Sesi membuat penanda buku dengan menggunakan bunga kering.

Pengalaman menyeronokkan Di Disney Sea, Jepun.

Pelajar Tingkatan Empat, SMK Puchong Utama (1), Sabrina Azhar Hussain gembira menunjukkan sushi yang dihasilkan.

Artikel Menarik:

Tak sangka program perkongsian pengurusan pusat sumber dapat penyertaan guru luar negara - IFLA 2.0

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Jadilah insan biasa yang luar biasa