Peningkatan jangkitan kes Covid-19 yang berlaku di sekolah sejak akhir-akhir ini menyebabkan kerajaan mengambil keputusan untuk menutup sekolah terbabit bagi memberi ruang kepada proses sanitasi.

Selain Kelantan dan Sarawak, 19 sekolah di Selangor turut diarah tutup bagi membolehkan kerja pembasmian kuman dan saringan kontrak rapat dilakukan.

Penutupan sekolah itu menerima reaksi positif daripada ibu bapa yang berpendapat ia adalah tindakan paling wajar bagi membendung penularan kes Covid-19 yang dijangka memasuki gelombang keempat.

Ibu kepada seorang murid yang turut berdepan masalah penutupan sekolah kerana Covid-19, Muriza Abdul Hamid, berkata langkah berkenaan sangat bertepatan bagi mengelakkan penularan kes di sekolah.

"Saya sendiri berasa tidak selamat untuk menghantar anak ke sekolah memandangkan di sudah ada kes direkodkan di sekolah.

"Meskipun begitu, penutupan ini sepatutnya dibuat di sekolah yang terdapat jangkitan kes Covid-19 saja, tidak perlu membabitkan sekolah yang tiada kes atau di luar zon merah," katanya ketika dihubungi GPS Bestari.

Perkara itu turut dipersetujui bapa kepada dua anak, Basir Bahrom yang berpendapat penutupan sekolah itu adalah tindakan yang paling wajar diambil bagi membendung penularan kes Covid-19.

"Meskipun penutupan sekolah ini sedikit menyukarkan ibu bapa terutama membabitkan rutin kerja harian kerana perlu mengambil cuti untuk memantau pembelajaran anak-anak, namun itu semua tanggungjawab norma baharu yang perlu didepani golongan ibu bapa dalam tempoh pandemik ini.

"Nyawa anak lebih penting. Jadi, apabila membabitkan keselamatan dan kesihatan anak-anak, janganlah ambil risiko terhadapnya bagi mengelakkan kita menyesal di kemudian hari," katanya.

Tambah beliau lagi, pihak sekolah perlu lebih peka dalam menangani aspek pematuhan prosedur operasi standard ketika urusan pergi dan balik dari sekolah bagi memastikan penjarakan fizikal dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Tidak dinafikan ramai ibu bapa memilih untuk menghantar sendiri anak-anak ke sekolah kerana mahu mengelakkan kesesakan dalam bas sekolah dan ia adalah usaha yang baik tetapi dalam masa yang sama, peningkatan aliran trafik di depan sekolah juga perlu diuruskan dengan baik supaya proses penyuraian murid berjalan lancar," katanya.

Kakitangan kerajaan, Rozer Masudin, berkata ia usaha yang amat bertepatan apabila sekolah ditutup bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar sekolah.

"Sebagai ibu bapa, saya amat prihatin mengenai anak-anak yang amat rendah pematuhan SOP berbanding orang dewasa kerana mereka masih memerlukan bimbingan dalam segala aspek termasuklah penjarakan fizikal dan sentiasa membasuh tangan.

"Sehubungan itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) harus diperkasakan lagi dengan mempelbagaikan medium pembelajaran dalam talian sekali gus dapat mempersiapkanpara guru dan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menghadapi segala kemungkinan termasuk sekiranya gelombang keempat Covid-19 melanda negara," katanya.

Gambar hiasan daripada Google.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rawang, Muhamed Saufi Shafie yang juga Focal Person Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Negeri Selangor kecewa apabila jangkitan Covid-19 sudah merebak ke sekolah.

"Penularan Covid-19 di sekolah perlu dipandang serius dan memerlukan disiplin yang tinggi daripada semua bagi memastikan pematuhan SOP dapat dilaksanakan sepenuhnya bukan sekadar mengambil lewa mengenai perkara berkenaan.

"Tidak dinafikan masih ada segelintir ibu bapa yang mengamalkan sikap tidak acuh mengenai SOP ini termasuklah ada yang masih menghantar anak tidak sihat ke sekolah. Bagaimanapun, setakat ini saya berpuas hati dengan tindakan pihak sekolah dalam membuat persediaan pembelajaran sepanjang berdepan pandemik ini, baik pembelajaran secara bersemuka atau secara PdPR," katanya.

Jawatankuasa MPP Zon 18 (Majlis Bandaraya Shah Alam), Mohd Sani Awang yang juga bertanggungjawab sebagai Biro Hal-Ehwal Sekolah dan Pendidikan, turut berpendapat masih ramai lagi ibu bapa mahupun guru sendiri tidak prihatin tentang  kesedaran tangggungjawab  kendiri.

"Sebagai contoh ahli keluarga yang telah melakukan ujian calitan masih menghantar anak ke sekolah.  Apabila keputusan didapati positig, bayangkan berapa ramai kenalan kontak rapat yang perlu dijejaki.

"Oleh itu, saya sangat bersetuju dengan tindakan KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) di atas penutupan sekolah yang mempunyai kes Covid-19 atau berada di kawasan lokaliti yang kategorikan sebagai zon merah kerana ia mampu mengekang penularan virus ini," katanya.

Artikel menarik

Pendidik perlu pamerkan contoh yang baik kepada murid - Sheikh Mohd Zaki

Dua pelajar tajaan MyPAC bangkit daripada kegagalan, harum nama Malaysia di peringkat dunia