Ada antara pelajar hari ini berdepan dengan kehilangan semangat untuk belajar.

Tidak kurang juga ada yang mula hilang fokus dek situasi semasa yang melanda negara kita, misalnya pandemik Covid-19.

Bila keadaan ini berlaku, sebilangan anak-anak mula merasakan yang diri mereka tidak mampu untuk mencapai cita-cita yang diimpikan dan seterusnya gagal mencipta kejayaan dalam kehidupan.

Cikgu Maizura Moeen atau Cikgu Wawa selaku Pengasas Pusat Tuisyen Bright Minds Academy berkata, perkara tersebut perlu dipandang serius kerana ia melibatkan anak-anak yang merupakan aset negara pada masa depan.

“Saya melihat, datangnya perasaan kurang keyakinan diri dan memandang rendah pada diri sendiri adalah bermula daripada otak.

“Saya pernah terbaca satu kajian Sains mengenai fungsi otak manusia. Dalam kajian tersebut, otak dapat mengawal tubuh daripada ancaman walaupun dalam kesakitan.

“Reticular Activity System (RAS) menapis segala maklumat yang sampai ke fikiran kita dan itulah yang terjadi kepada minda iaitu segala imej kita gagal, imej kesedihan, imej yang merasakan diri serba kekurangan bermain dan melekat dalam minda kerana kita membiarkan otak mengawal perkara yang negatif,” katanya.

Sebagai ibu bapa, jelas Cikgu Wawa, kita bukan sahaja memberi kasih sayang, keperluan harian dan sebagainya kepada anak-anak, tetapi ibu bapa harus memprogramkan otak anak-anak supaya berada dalam otak yang positif dan punyai matlamat yang jelas.

Menyedari pentingnya situasi yang berlaku pada pelajar masa kini, Cikgu Wawa menerusi Bright Minds Academy mengambil pendekatan menggunakan salah satu teknik mengaktifkan RAS iaitu mempraktikkan Mind-to-Muscle kepada pelajar sebelum memulakan sesi kelas.

Teknik RAS ini mempunyai pelbagai cara untuk dilaksanakan iaitu melalui Affirmation, Visualisation dan Feeling (AVF).

Teknik ini bukan semata-mata boleh dilakukan untuk sesi pembelajaran sahaja, bahkan teknik ini boleh dibuat oleh ibu bapa sendiri bersama-sama anak-anak ketika di rumah.

“Di Bright Minds Academy, teknik ini bukan sahaja dilihat berkesan membantu dalam membina RAS pelajar, bahkan juga dapat mengubah diri pelajar yang dahulu hanya sebagai pelajar yang pasif di dalam kelas kepada pelajar yang aktif dan cemerlang,” jelasnya.

Terdahulu, Bright Minds Academy menganjurkan program ‘Re-Programming Minds’ secara online baru-baru ini yang keseluruhannya membantu anak-anak pelajar membina RAS, menghasilkan vision board dan mempraktikkan rutin Mind-to-Muscle.

Program bermatlamat membantu membina RAS anak-anak dan membantu ibu bapa mengenali lebih dekat impian yang tersembunyi dalam fikiran pelajar yang mungkin sebelum ini kurang diberikan perhatian.

Artikel menarik

Kerajaan realisasi 11 agenda mahasiswa yang diperjuangkan MPPK

Tarikh pendaftaran pelajar Tingkatan 1 dan 4 Sekolah Khusus 6 April depan