LUKISAN potret wajah guru-guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama (SUTAMA) kini memenuhi bilik cetak sekolah.

Selain mereka, terdapat juga potret pentadbir negara, selebriti, superhero, animasi dan ramai lagi yang dipaparkan dibilik berkenaan.

Pengetua SUTAMA, Noor Hayati Embong berkata, karya cantik dan indah itu adalah hasil kerja tangan seorang Kakitangan Pelaksana Sekolah bernama Zefri Bakar @ Said.

"Hampir 50 karyanya dimuatkan di dalam bilik ini.

"SUTAMA cukup bertuah kerana mempunyai kakitangan yang sangat berbakat dalam bidang seni," katanya kepada Wartawan GPS Bestari, Roshlawaty Raieh.

Beliau berkata, Zefri merupakan seorang anggota pejabat yang tekun melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Ketekunan dalam tugas harian turut dijelmakan dalam bidang seni.

"Ruang cetak sekolah bagaikan sebuah Galeri Seni Potret milik Zefri. Karyanya memang hebat dan tidak salah kiranya saya mengkategorikan karya Zefri seperti pelukis amatur," ujarnya.

Noor Hayati bersama Zefri di ruang bilik cetak sekolah.

SUTAMA bercadang mencari satu ruang di persekitaran sekolah untuk mempamerkan koleksi potret yang dilukis Zefri.

"Bila ada ruang di kawasan sekolah, warga SUTAMA dan pelawat yang datang, boleh melihat karya dengan lebih dekat.

"Sekurang-kurangnya, potret Zefri ini boleh ditatap oleh semua orang," katanya dengan menambah, salah satu keunikan di SUTAMA ialah pelawat-pelawat rasmi yang hadir ke sekolah akan dihadiahkan dengan potret wajah mereka sendiri yang diframekan dengan penuh rasa bermakna dan terima kasih.

Dalam pada itu, SUTAMA adalah sebuah keluarga besar yang perlu diberikan ruang serta peluang untuk ditonjolkan segala potensi diri mereka.

"Bagi saya semua warga SUTAMA adalah permata yang sangat berharga yang kilauannya menyinari persada pendidikan negara," ujarnya.

Zefri ketika ditemu bual GPS Bestari berkata, bakat melukis yang ada padanya adalah satu anugerah dari Allah.

"Saya tidak berguru dengan sesiapa pun melainkan hanya belajar sendiri sahaja.

"Bila lukisan 'menjadi', saya berasa sangat seronok. Kalau boleh, saya impikan memiliki sebuah galeri sendiri kelak," katanya.

Zefri yang sudah 17 tahun berkhidmat di SMK Saujana Utama berkata, setiap satu potret, mengambil masa yang berbeza.

"Ada yang dapat disiapkan dalam satu hari dan ada juga mengambil masa beberapa hari.

"Potret-potret yang ada disini, semuanya dilukis ketika tempoh PKP bermula Mac lalu.

"Jika ada masa luang disekolah pula, saya akan menghabiskan masa berkenaan dengan menghasilkan potret ini," katanya yang  menggunakan pensil 2H, 2B, 6B, 7B, 8B, pemadam, pengasah pensil, kertas lukisan A3, pensil warna dan pen marker sebagai bahan mentah untuk melukis.

Akhir sekali, Zefri mengucapkan ribuan terima kasih kepada SUTAMA khususnya kepada pengetua yang sentiasa memberikan semangat untuk memperkembangkan bakat melukis.

"Beliau selalu berkata, bilik lukisan ini bagaikan galeri saya sendiri. Saya benar-benar terharu.

"Insya-Allah, jika diizinkan Allah, mungkin satu hari nanti, saya mampu memiliki galeri yang diidam-idamkan," ujarnya.

Antara koleksi potret indah yang dilakar oleh Zefri.

Noor Hayati (kiri) menghadiahkan potret wajah Pegawai Audit Sekolah KPM, Nor Shuhada Aziz, ketika kunjungan beliau ke sekolah itu, baru-baru ini.

Artikel menarik:

Sekeping nota kecil ditampal di pintu stor sekolah, khas untuk tukang kebun. Ramai sebak dan terharu

Guru Cemerlang kongsi sembilan rahsia menjadi guru hebat