SHAH ALAM - Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kedua-dua mata pelajaran itu berbeza dengan yang lain kerana  ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini tidak seperti Sejarah dan Geografi.

“Ia (Sains dan Matematik) datang dari luar. Kebanyakannya datang ke negara ini melalui medium Bahasa Inggeris dan atas  sebab itu kita akan menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik.

“Itu bermaksud kita tidak akan mengelirukan rakyat kerana kita mendapati mereka yang belajar Sains dalam Bahasa Melayu sukar untuk mendapatkan pekerjaan

di tempat Bahasa Inggeris digunakan,” katanya kepada pegawai Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu mesyuarat tertutup di Putrajaya Jumaat lalu.

Video mesyuarat bersama bersama Kumpulan  Pengurusan KPM itu kemudian telah dimuat naik di laman sosial rasmi Perdana Menteri.

Dalam masa sama, Dr Mahathir yang juga Pemangku Menteri Pendidikan berkata, rakyat mahu melihat perubahan dalam polisi pendidikan negara dan beliau mempunyai beberapa idea untuk dilaksanakan demi pembangunan pendidikan negara.

Katanya, walaupun beliau sedar ada antaranya tidak mudah dipersetujui banyak pihak, beliau merasakan beberapa perkara perlu dilaksanakan bagi memastikan generasi akan datang lebih berdikari.

“Saya merasakan perlu untuk melaksanakan beberapa perkara ini bagi memastikan  anak-anak kita dapat membesar dan mampu  menyelesaikan masalah yang akan dihadapi mereka sewaktu dewasa kelak. Itulah tujuan sebenar pendidikan.

“Seperti yang anda tahu, rakyat negara kita adalah berbilang kaum. Ia mungkin menjadi masalah kepada kita, tetapi  juga ia adalah sesuatu yang boleh menyumbang ke arah pembangunan negara kita,” katanya.

Menurutnya, pembangunan negara ini adalah hasil toleransi dan kerjasama erat antara kaum di negara ini.

“Jika negara tidak stabil dan peperangan tercetus, anda boleh berhenti berbicara tentang soal pembangunan,” katanya.

Dasar PPSMI

  • Dasar PPSMI telah dipersetujui Jemaah Menteri pada 19 Julai 2002 dan mula dilaksanakan secara berperingkat bermula pada sesi persekolahan tahun 2003.
  • Murid Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 serta 6 rendah untuk peringkat sekolah menengah menjadi perintis dasar tersebut.
  • Pelaksanaan penuh PPSMI adalah pada tahun 2007 untuk peringkat sekolah menengah sementara peringkat sekolah rendah ialah pada tahun 2008.
  • Ia mula dimansuhkan secara berperingkat pada 2012 setelah mendapat kecaman parti politik, ibu bapa, cendekiawan, gerakan pelajar dan mahasiswa, pakar bahasa dan sasterawan. Bagaimanapun, bahasa Inggeris masih terus menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti, matrikulasi dan Tingkatan Enam.
  • Ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dr Maszlee Malik yang ketika itu Menteri  Pendidikan memberitahu sidang Dewan Rakyat bahawa dasar itu berkemungkinan besar akan dikembalikan demi kebaikan generasi baharu dan negara.
  • Pada April 2019, Sarawak mengambil keputusan untuk menjadi negeri pertama melaksanakan kembali dasar tersebut.

Artikel Lain:

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Murid mengantuk dalam kelas...Cikgu Herryan Syah sediakan 11 idea menarik untuk guru-guru cuba

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi

Cikgu ini kongsi cara hafal sifir dalam masa sehari - Murid-murid pasti dapat skor Matematik nanti