SHAH ALAM - Program matrikulasi yang memberi peluang kepada pelajar Bumiputera tidak wajar dilihat melalui kaca mata perkauman kerana peranan besarnya adalah untuk mengekalkan keharmonian negara melalui penglibatan saksama antara semua kaum dalam bidang sains, teknologi dan profesional.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Mohd Azraai Kassim berkata, jurang nisbah mengikut kaum yang terlibat dalam bidang sains, teknologi dan profesional masih ketara dan menunjukkan kaum Bumiputera masih ketinggalan.

“Contohnya, dalam bidang perubatan. Mengikut sumber Majlis Perubatan Malaysia, pada 2018 terdapat 24,891 golongan Bumiputera berbanding 48,228 kaum lain manakala mengikut sumber Lembaga Jurutera Malaysia pada 2017, terdapat hanya 36,024 Bumiputera berbanding dengan 101,478 kaum lain yang terlibat dalam bidang profesional itu.

“Jarak yang besar ini perlu dirapatkan demi mewujudkan keharmonian agar keresahan dan kesangsian dalam masyarakat dapat dibendung,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sehubungan itu, Mohd Azraii berkata, sensitiviti perkauman perlu dijaga agar ia tidak diperalatkan demi kepentingan sempit yang hanya akan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Katanya lagi, golongan yang mempersoalkan tindakan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mempertahankan kuota matrikulasi untuk bumiputera perlu melihat agenda negara yang lebih besar daripada hanya menjadikan ia sebagai isu perkauman yang sempit. - Bernama