SHAH ALAM - Melalui Program Sifar Murid Cicir yang diasaskan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) tahun ini, KPM berjaya membantu 4,369 murid cicir dan mengembalikan mereka ke sekolah.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, daripada jumlah tersebut, 1,666 daripada mereka berjaya kembali ke sekolah rendah.

"Manakala 2,703 lagi telah berjaya kembali ke sekolah menengah.

"Kita biasa memberi fokus dan meraikan anak-anak cemerlang. Tetapi dalam kebanyakan masa, kita lupa untuk meletakkan perhatian kepada anak-anak yang tercicir dalam pelajaran," tulisnya  di laman Facebook miliknya kelmarin.

Menurutnya, antara pencapaian terpenting KPM tahun 2019 ini ialah kejayaan membantu dengan lebih serius anak-anak cicir tersebut.

"Fokus kita cuma satu. Iaitu memastikan kesemua anak-anak di negara ini menerima hak pendidikan yang selayaknya.

"Apakah yang akan berlaku kepada 4,369 anak-anak ini sekiranya mereka tidak dimasukkan ke sekolah pada tahun ini? Adakah mereka cuma dibiarkan dan berpeleseran semata-mata?

"Dan jumlah ini belum cukup memuaskan saya lagi. Kita di KPM akan meningkatkan lebih banyak usaha untuk menarik semula anak-anak cicir masuk belajar di sekolah. Kita tidak mahu mereka ditinggalkan. Pendidikan ialah untuk semua, tanggungjawab semua," katanya.

Artikel Lain:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

'Ada yang menyorok dalam tandas kerana enggan bersukan' - Cikgu ini kongsi sikap murid-muridnya

Berlatih hanya dua minggu, tak sangka pasukan sekolah ini bolot emas semua kategori di Spain