SABAK BERNAM - Pasukan reka cipta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mustaffa muncul pemenang pingat emas kategori jemputan sekolah pada Program Myccskills Inovasi dan Rekacipta Pelajar 2017 (Myskrip’17) Kebangsaan di Dewan Sri Bernam, di sini.

Guru penasihatnya, Mohd Sahid Maasum berkata, kejayaan itu lebih manis apabila dua ahli kumpulan itu terdiri daripada murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Masalah Pembelajaran iaitu Wan Zairul Zamani, 15, dan Zai Rahman Othman, 18, serta seorang murid tingkatan 5, Muhammad Azhan Adha Mohd Sahid, 17.

Katanya, produk inovasi pasukannya diberi nama ‘Top Tester - Alat Uji Baja’ yang berfungsi untuk mengesan kehadiran nutrien dalam tanah menarik perhatian juri sekali gus dipilih sebagai pemenang pingat emas.

“Kejayaan ini membuktikan dengan dorongan dan bimbingan berterusan, murid PPKI juga mampu menghasilkan produk inovasi setanding murid normal,” katanya pada program anjuran Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti.

Menurut Sahid, inovasi Top Tester itu dibangunkan menggunakan bahan kitar semula seperti paip PVC, wayar dan mentol.

“Alat ini dibina menggunakan kaedah penyambungan 'singlephase' dengan mentol, bagaimanapun salah satu wayar itu dipotong.

"Untuk menguji kehadiran nutrien dalam tanah, wayar yang dipotong direndam dalam bekas mengandungi larutan tanah diuji.

“Mentol akan menyala jika ada nutrien dalam tanah kerana nutrien merupakan pengalir elektrik.

"Semakin terang nyalaan mentol semakin tinggi kandungan nutrien,” katanya.

Tambahnya, alat Top Tester itu berpotensi dibangunkan dan boleh digandingkan dengan alat Soil Tester yang menguji keasidan (PH) yang boleh bantu petani menilai nutrien pada tanah.