KLANG - Kira-kira 1,000 guru dari sekolah seluruh daerah ini hadir memeriahkan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Klang 2019 di Klang Commercial Convensition Centre (KCCC), di sini, 12 April lalu.

Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim melahirkan rasa syukur dapat berkumpul pada hari itu sempena Majlis Sambutan Hari Guru  Peringkat Daerah Klang 2019, #Terima Kasih Cikgu, Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi sebagai tanda pengiktirafan guru yang tidak terhingga atas sumbangan  dan jasa warga pendidik ke arah membangunkan modal insan negara.

" 'Terima kasih Cikgu' atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab mulia ini. Dengan amanah besar ini, guru – guru menduduki satu darjat yang paling dimuliakan dalam masyarakat.

"Sesungguhnya guru amat dipandang mulia dan berperanan penting dalam membina dan membentuk kualiti anak didik dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan  intelek bagi memenuhi aspirasi pendidikan," katanya.

Mohd Salleh

Mohd Salleh ketika gimik Pelancaran Majlis Hari Guru Peringkat Daerah Klang.

 

Menurut Mohd Salleh, sambutan pada tahun ini bertujuan untuk meraikan kejayaan dan sumbangan guru dalam membentuk serta melahirkan murid yang cemerlang  dan berdaya saing selaras dengan aspirasi pendidikan.

"Sungguhpun jasa dan bakti guru sukar untuk dibalas, namun sebagai imbalan yang wajar kepada jasa-jasa guru, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada usaha untuk memartabatkan profesion keguruan.

"Dalam konteks ini, pelbagai anugerah dan penghargaan dalam perkhidmatan telah dirangka oleh pihak Kementerian untuk mempertingkatkan profesionalisme  keguruan.

Ini termasuklah mempromosi kejayaan guru di dalam dan di luar negara," katanya.

Disamping itu, empat tokoh guru diraikan sempena sambutan tersebut bagi menghargai perkhidmatan cemerlang yang diberikan dalam bidang pendidikan.

Kesemua penerima Anugerah Tokoh Guru berkhidmat lebih 30 tahun sebagai pendidik dan sudah bersara dari perkhidmatan di sekolah sekitar daerah ini.

Mereka adalah Noor Mala Hamzah, 61, Hamidi Daud, 60, Lim Siok Hui, 62 dan Arumugam Subramaniam, 65.

Kesemua mereka menerima selempang tokoh guru, wang tunai, plak, sijil penghargaan, serta sejambak bunga.

Anugerah Tokoh Guru disampaikan oleh Mohd Salleh.

 

Guru-guru ketika majlis berkenaan.

Upacara menaikkan bendera hari guru.

Pelajar yang terlibat dalam upacara menaikkan bendera hari guru.

Wakil guru ketika bacaan ikrar hari guru.

Koir wakil guru daerah Klang ketika persembahan.

Barisan tokoh guru yang dinobat dari kiri, Noor Mala, Hamidi, Siok Hui dan Arumugam