Shah Alam - Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah, Perlis, Rosli Long mengucapkan takziah kepada keluarga tokoh ulama terkenal Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz.

Sekolah itu yang dahulunya dikenal sebagai Sekolah Agama Arab Alawiyah merupakan bekas sekolah Allahyarham Abu Hassan dan abangnya Allahyarham Datuk Dr Haron Din Al-Hafiz.

Rosli berkata, sebagai pengetua, beliau berbangga kerana sekolah itu dapat melahirkan tokoh-tokoh hebat termasuk pemimpin negara.

"Pihak sekolah sentiasa menjadikan keluarga Allahyarham sebagai ikon untuk memberi semangat kepada pelajar supaya sentiasa berusaha untuk berjaya.

"Setahun saya menjadi pengetua sekolah ini, cabaran besar saya adalah untuk meneruskan legasi sekolah dalam melahirkan tokoh-tokoh hebat," katanya ketika dihubungi GPS Bestari.com, pagi ini.

Menurut beliau, untuk membentuk satu legasi adalah lebih mudah daripada mengekalkan legasi tersebut. 

Sekolah Agama Al-Islahiyah Menengah yang beroperasi di tanah wakaf keluarga Allahyarham Abu Hassan.

Beliau sebelum ini merupakan pengetua Sekolah Agama Al Islahiyah Menengah, Perlis yang merupakan sekolah agama tersohor di Perlis.

"Sekolah Agama Al Islahiyah Menengah dan Sekolah Agama Al Islahiyah Rendah beroperasi di tanah wakaf keluarga Allahyarham dan beliau merupakan Ahli Lembaga Mesyuarat Tetap sekolah ini," katanya.

Menurutnya, selepas ini jawatan Ahli Lembaga Mesyuarat Tetap SMA Al Islahiyah akan dipegang anak AllahyarhamHaron Din yang merupakan seorang peguam, Hamdi Haron.

SMA Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah, Sekolah Agama Al-Islahiyah Menengah dan Sekolah Agama Al-Islahiyah Rendah merupakan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

 Sekolah Agama Al-Islahiyah Rendah yang beroperasi di tanah wakaf keluarga Allahyarham Abu Hassan.

Kronologi sejarah SMA Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah:

1930 - Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah ditubuhkan dengan menggunakan dana  Zakat Negeri Perlis  bertempat di bangunan sementara iaitu di sebuah rumah di Jalan Pauh, Arau,            kemudian berpindah ke rumah Allahyarham penghulu Arau ketika itu di alamat No, 2 Jalan Besar Arau.

1936 - Pembinaan bangunan pertama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah setelah diperintahkan oleh Almarhum Raja Syed Alwi di tapaknya kini.

1940 - Sekolah ditutup setelah dijadikan kem petempatan tentera Jepun.

1951 - Dibuka semula dan diambil warganegara Mesir sebagai pengetua.

1976 - Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah diambil oleh Kementerian Pelajaran (KPM) sebagai sekolah menengah kebangsaan agama (lelaki)

1989 - Yayasan Islam Perlis (YIPs) telah mengambil alih pengurusan dan pentadbiran Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah.

2006 - Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah telah diambil alih oleh KPM di bawah status SABK.

SMA Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah bekas sekolah Allahyarham Abu Hassan.

Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz

* Dilahirkan di Perlis.

* Menerima pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma sebelum melanjutkan pendidikan di SMA Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah.

* Melanjutkan pengajiannya di Mesir.

* Mula bekerja di Pusat Islam pada tahun 1976.

* Pernah berkhidmat sebagai Pegawai Agama Istana Negara.

* Merupakan adik kepada pendakwah terkenal Allahyarham Datuk Dr Haron Din Al-Hafiz dan Allahyarham Ishak Din.

* Merupakan bekas imam di Masjid Negara dengan jawatan tertingginya sebagai Imam Besar.

* Pernah menjadi Penasihat Agama kepada beberapa Yang di-Pertuan Agong termasuk Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Sultan Mizan Zainal Abidin.

* Aktif berceramah melalui pentas dakwah seperti Forum Perdana Ehwal Islam terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan turut terkenal sebagai Ikon Astro Oasis.

* Meninggalkan seorang balu, Rosbi Shabudin, 66, tujuh anak dan 13 cucu.