SHAH ALAM - Pesakit barah tulang yang juga bekas pelajar SMK Undang Jelebu, Mohd Shafuan Norazhar, 20, disahkan meninggal dunia di Wad Onkologi dan Radioterapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), 8.47 malam kelmarin (22 April 2019).

Allahyarham yang juga anak kedua daripada tiga beradik menghembuskan nafas terakhir di sisi ayahnya, Norazhar Hussin, 48, ibu, Salmie Shafie, 48, dan ahli keluarga serta rakannya.

Norazhar berkata, dia reda dengan pemergian Mohd Shafuan dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan anaknya selain memberi sokongan moral serta bantuan wang ringgit.

“Keadaannya agak kritikal selepas selesai menjalani rawatan kemoterapi malam tadi dan semakin membimbangkan apabila berlaku pendarahan di bahagian ketumbuhan.

“Doktor sudah melakukan yang terbaik, namun Allah S.W.T lebih menyayanginya. Sebagai bapa, saya sedih tetapi reda dengan pemergiannya.

“Kalau boleh saya mohon sedekahkan tahlil buat Mohd Shafuan.. jenazah anak saya dibawa ke kampung halaman kami di Jelebu, Negeri Sembilan dan selamat dikebumikan pagi semalam,” katanya.

Pada 27 Mac lalu, GPSBestari.com melaporkan penderitaan Mohd Shafuan yang disahkan menghidap barah tulang sejak Januari tahun lalu.

Penyakit itu memaksa Mohd Shafuan menjalani rawatan kemoterapi pada Julai hingga November tahun lalu dan ia berhasil apabila saiz ketumbuhan yang ada semakin mengecil.

Namun, ketumbuhan itu kembali membesar pada Januari tahun ini menyebabkan Mohd Shafuan dimasukkan semula ke HKL bagi menjalani rawatan sesi kemoterapi pusingan kedua.

BERITA BERKAITAN:

Bekas pelajar SMK Undang Jelebu derita kanser tulang, perlu RM70,000 tampung kos rawatan

'Duit tak cukup.. saya terpaksa bawa Shafuan ke HKL' - Bapa bekas pelajar SMK Undang Jelebu

Keadaan terkini bekas pelajar SMK Undang Jelebu derita kanser tulang.. warganet mohon terus berdoa