HULU BERNAM - Bunyi anak kucing mengiau kira-kira jam 1 pagi dari arah tempat bertugas menarik simpati seorang pengawal keselamatan.

Mazman, 30, kemudian berusaha mencari arah bunyi kucing berkenaan dari kawasan pondok pengawal Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tengi berkenaan.

Menurutnya, haiwan itu mengiau seolah-olah dalam ketakutan dan tidak mampu berusaha sendiri.

“Bunyi kucing tu memanglah tak pelik tapi bila bunyi kuat berkali-kali pada jam 1 pagi, mesti saya rasa curiga. Rupa-rupanya kucing itu tidak dapat turun dari atas pokok setinggi lebih 10 kaki.

“Bila cari di sekeliling pondok pengawal, tak nampak ada kucing dan bila dongak ke atas pokok depan pondok ni, ada anak kucing. Pokok pun tinggi, jadi saya tak berani nak panjat, saya terus hubungi talian kecemasan 999 bagi meminta tolong. Saya pun bimbang anak kucing ni terjun,” katanya.

Anak kucing berjaya diselamatkan anggota APM tanpa sebarang kecederaan.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Selangor, Leftenan Pertahanan Awam Mansor Ab Rasid berkata, lima anggota ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat berhubung seekor anak kucing berada di atas pokok.

Menurutnya, operasi diketuai Koperal (PA) Md Naser Mohd Nazri menggunakan tangga bagi mendekati dan membawa turunhaiwan tersebut.

“Anak kucing tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan atau luka dan diserahkan kepada pengadu,” katanya.

Mansor berkata, APM bukan sahaja melakukan tugasan menyelamat mangsa bencana atau kemalangan namun turut melibatkan kes kecemasan berkaitan haiwan.