SETIA ALAM - Kolej SEGi Subang Jaya (SEGi) menandatangani memorandum perjanjian (MoU) bersama School of Skills (SOS) milik CKL Group, baru-baru ini, bertujuan untuk membuka peluang kepada para pelajar dari SOS melanjutkan pengajian ke institut pengajian tinggi (IPT).

Selain daripada menawarkan yuran yang berpatutan kepada pelajar SOS, SEGi juga akan memberikan peluang akademik bukan hanya di peringkat diploma tetapi juga di peringkat ijazah dengan kerjasama University of Sunderland, United Kingdom (UK).

Kerjasama itu juga akan membuka pintu kepada fakulti dari kedua-dua institusi untuk terlibat dan bertukar idea serta kepakaran yang berfokuskan pada teknik dan teknologi automotif.

Pengetua Kolej SEGi Subang Jaya, Calvin Chan, berkata kerjasama itu memainkan peranan penting untuk melengkapkan generasi masa depan dengan kemahiran yang diperlukan supaya terus cemerlang dalam kerjaya masing-masing.

Katanya, SEGi memberi penekanan yang tinggi dalam usaha menarik minat pelajar melalui pendekatan pengajaran dan pada masa yang sama memupuk kemahiran penting seperti penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan komunikasi.

“Tujuan kerjasama dua hala ini adalah untuk memberi kesedaran dalam kalangan belia dan generasi akan datang di negara ini, secara khusus mengenai bidang kejuruteraan.

"Objektif kami ialah untuk mendorong minat mereka memasuki alam pekerjaan dalam industri automotif yang pesat berkembang, bukan hanya di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh SEGi.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat di SEGi memberi penekanan terhadap pendidikan berpusatkan pelajar yang disampaikan melalui kaedah inovatif dengan menggunakan kemudahan terbaharu dan canggih.

Di SEGi, pelajar dilatih untuk meningkatkan pengetahuan yang berkaitan dengan industri melalui akses ke makmal dan bengkel untuk mengembangkan kemahiran kejuruteraan mereka yang mana program akademik di SEGi dirancang untuk memenuhi keperluan industri automotif yang didorong oleh Revolusi Industri (IR) 4.0.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bersama CKL Group, Clement Lim, berkata kerjasama kedua-dua pihak itu adalah kunci bagi pelajar SOS untuk mengenali nilai-nilai yang dibawa oleh institusi pengajian berkenaan untuk masa depan mereka.

"Bersama SEGi, kami dapat menunjukkan bahawa terdapat lebih daripada satu cara untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan iaitu melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ini adalah inisiatif yang kami tekankan, terutama sekali semasa pandemik Covid-19 ini untuk memastikan kelangsungan pembelajaran pelajar kami.

“Ia sejajar dengan Dasar Automotif Nasional Malaysia (NAP) 2020 yang mana pelan tindakan sudah disusun semula bagi menjadikan sektor automotif negara lebih berdaya saing dan maju," katanya.

Beliau berkata, NAP 2020 mensasarkan untuk meningkatkan industri automotif Malaysia dalam era transformasi industri digital dari 2020 hingga 2030, sehingga membolehkan Malaysia mampu mewujudkan “Connected Mobility”.

"Hal ini sekali gus mampu mendorong pertumbuhan baru melalui integrasi teknologi yang bersesuaian dengan IR 4.0,” tambahnya lagi.

Artikel menarik

10 sekolah terjejas akibat ribut di parlimen Titiwangsa akan diselenggara segera- Rina Harun

Penggunaan kaedah model TGfU meningkatkan minat pelajar dalam pengajaran Pendidikan Jasmani