Pihak pengurusan sekolah diberi kelonggaran untuk pengubahsuaian tatacara pembukaan sekolah mengikut acuan masing-masing selagi ia mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Timbalan Menteri Pendidikan II, Muslimin Yahaya berkata pengubahsuaian terhadap garis panduan itu dibenarkan kerana setiap sekolah mempunyai persekitaran dan jumlah pelajar yang berbeza.

"Contohnya, pintu masuk dan pintu keluar berbeza… sebab itu kita bagi peluang kepada sekolah dalam masa tiga hari ini Rabu, Khamis, Jumaat. Andai kata ada yang perlu diubah.

"sekolah diberi kelonggaran untuk mengubahsuai… bergantung kepada keperluan sekolah pada waktu itu tetapi prosedur operasi standard (SOP) asas sebagaimana garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah itu perlu dipatuhi," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melakukan tinjauan persiapan pembukaan semula sekolah di sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 di sini, hari ini.

Pada 10 Jun lepas, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan semua sekolah di seluruh negara akan dibuka esok namun hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini.

Dalam pada itu, Muslimin berkata pegawai kementerian itu juga akan ditempatkan di semua sekolah di seluruh negara bagi membuat pemantauan pematuhan garis panduan.

"Di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pegawai sudah diatur, mereka akan berada di setiap sekolah terbabit," katanya.

Muslimin berkata, apa yang perlu ditekankan pengurusan sekolah adalah keselamatan dan keselesaan pelajar dan kementeriannya yakin pihak sekolah mampu untuk mengikuti segala yang telah digariskan.

"Kita melihat garis panduan ini sebagai teoritikal… esok kita akan tengok secara praktikal macam mana ia dilaksanakan," katanya.- BERNAMA