Aplikasi SMART Al-Quran Memorization (SmART Al-Q) yang dibangunkan guru tahfiz, Ismail Salleh berjaya menggondol lima pingat emas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam lima pertandingan yang disertai sepanjang tahun lalu.

Menurut Ustaz Ismail, aplikasi yang dibangunkan itu hasil kajian untuk tesis sarjana dalam Pendidikan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ismail

"Aplikasi ini saya guna Adobe Flash CS6 dengan ActionScript 3.0 berdasarkan model ADDIE bagi meningkatkan kaedah pengajaran dan pembelajaran hifz (menjaga dan memeliharan) al-Quran berdasarkan teori pengajaran al-Qabisi, iaitu seorang ulama Islam.

"Saya bangunkan aplikasi ini berdasarkan teori pengajaran al-Qabisi yang menekankan konsep pembelajaran hafazan menggunakan pancaindera seperti dengar, talaqi (baca), hafaz dan tasmik.

SmART Al-Q yang berkesan membantu hafazan pelajar dan PdPc guru.

Tasmik bermaksud pelajar akan membaca di hadapan guru tanpa tengok al-Quran atau memperdengarkan bacaan kepada guru,” ujarnya.

Kata Ustaz Ismail, pertandingan yang disertai memerlukan pelajar membuat persediaan menggunakan aplikasi yang dibangunkan sebelum tasmik di hadapan juri.

Nur Muhammad Al Amin ketika memberi penerangan kepada juri pada International Learning Innovation Competition yang berlangsung di UUM.

Pemenang dinilai berdasarkan markah tasmik, persembahan pembentangan mengenai inovasi, keaslian inovasi dan manfaat kepada masyarakat.

"Tasmik bermaksud pelajar akan membaca di hadapan guru tanpa tengok al-Quran atau memperdengarkan bacaan kepada guru," katanya yang mengajar di Sekolah Kluster Kecemerlangan dan

Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah.

Jelas beliau lagi, aplikasi yang dibangunkan itu membantu pelajar menghafaz al-Quran dengan mudah selain membantu guru dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

Ustaz Ismail bersyukur kerana SmMART Al-Q mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

Empat pelajar yang terbabit dalam setiap pertandingan inovasi SmART Al-Q ialah Ahmad Munawwar Zubairi, Muhammad Farhan Khairul Anuar, Wan Muhammad Atiqullah Wan Ahmad Noradin dan Nur Muhammad Al Amin Noorazam yang kesemuanya pelajar Tingkatan Tiga.

Wan Muhammad Atiqullah (kiri) dan Nur Muhammad Alamin Noorazam (kanan) merupakan pembaca suara dalam aplikasi hafazan SmART Al-Q.

Cetus fenomena

Beliau yang diiktiraf Guru Cemerlang Hifz al-Quran oleh Kementerian Pendidikan (KPM) turut berperanan membantu guru hafazan lain meningkatkan tahap pengajaran yang berkesan.  

Melalui SmART Al-Q, pelajar dapat mengulang hafazan di mana dan bila-bila masa sahaja melalui telefon pintar yang telah dimuat turun aplikasi tersebut.

"Aplikasi ini bagaikan mencetuskan fenomena baharu dalam pengajaran hafazan apabila reruai kami sentiasa dikunjungi ketika membuat pameran," tambahnya.

Menurutnya, SmART Al-Q membuktikan kepada masyarakat bahawa sekolah agama juga mampu membangunkan produk yang berpotensi tinggi selain mengasah bakat pengucapan awam dalam kalangan pelajar.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mengeluarkan geran bagi membolehkan beliau menambahbaik SmART Al-Q.

Sementara itu, Wan Muhammad Atiqullah mengakui telah berjaya menghafal empat belas juzuk menggunakan aplikasi yang menukar kaedah tradisional kepada baharu.  

“Saya hafal sedikit demi sedikit dengan membahagikan satu muka surat kepada dua bahagian. Jadi saya hafaz bahagian atas dulu apabila sudah ingat baru hafal bahagian bawah. Saya  ulang dari atas sampai bawah sebanyak 12 kali sampai betul-betul ingat barulah saya tasmik depan guru,” ujarnya.

Tambahnya, aplikasi ini membantu hafazan dari segi sebutan huruf dan teknik pengulangan memudahkan pelajar ketika bercuti kerana masih boleh dengar bacaan.

INFO:

Nama: Ismail Salleh
Umur: 37 Tahun
Asal: Pedu Kuala Nerang, Kedah
Guru Subjek: Hifz Al-Quran (Guru Tahfiz)
Sekolah: TMUA SMK Agama Kedah
Pendidikan: Sarjana Pendidikan, sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di UUM, Kedah

Pencapaian SMART Al-Q:

1. Pingat Emas International Learning Innovation Competition peringkat antarabangsa 2019 di UUM.

2. Pingat Emas Pertandingan International Industrial Revolution 4.0 Exposition IREX 2019, di UiTM Kedah

3. Pingat Emas dan Anugerah Khas Pertandingan Inovasi Darul Aman (PRiSm'19) peringkat kebangsaan di Institut Perguruan (IPG) Kampus Darul Aman

4. Pingat Emas Pertandingan Inovasi ICT peringkat kebangsaan 2019 anjuran UITM penang  

5. Pingat Emas International Eureka Innovation Exhibition (i-EIE) 2019, UniKL Kulim Kedah

Reaksi:

"Aplikasi SmART Al-Q cukup membantu saya dalam proses menghafaz al-Quran kerana aplikasi ini mempunyai pengulangan ayat berbeza dengan aplikasi al-Quran yang lain."

Muhammad Marwan Ahnaf
Tingkatan Lima

"Syukur alhamdulillah. Dengan kejayaan merangkul pingat emas dalam pertandingan menunjukkan bahawa aplikasi ini diiktiraf dan patut ditambah baik demi membantu hafazan pelajar."

Ahmad Munawwar Zubairi
Tingkatan Dua

"Saya amat berbangga dengan kejayaan anak didik dengan memperoleh pingat emas dalam aplikasi berteraskan inovasi dan kaedah hafazan al-Quran menerusi teknologi di mana seiring dengan revolusi industri (IR4.0) dalam subjek hafazan. Ini membuktikan al-Quran sebagai panduan hidup untuk menghasilkan kecemerlangan pelajar dunia akhirat selaras dengan moto sekolah 'Huffaz Mutadaiyyin Profesional'."

Mahir Mohamad
Pengetua