SHAH ALAM - Kerajaan Negeri sedang memantau perkembangan penularan virus Influenza A di negeri ini dan akan menutup mana-mana sekolah jika dikesan mempunyai tahap jangkitan yang serius.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata buat masa ini, pihaknya menerusi pejabat exco kesihatan negeri dimaklumkan terdapat kes jangkitan influenza di Cyberjaya namun situasinya masih terkawal.

"Bagaimanapun, jika angka (jumlah kes) bertambah dan kadar penyebaran (jangkitan influenza) itu pantas, kita akan ambil tindakan segera termasuk memberi pelepasan ataupun cuti kepada sekolah-sekolah di kawasan terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek menaik taraf laluan B49 Persiaran Mokhtar Dahari di sini, hari ini.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan terdapat dua lokasi di negeri ini dikesan positif jangkitan Influenza A iaitu di Sekolah Kebangsaan Cyberjaya melibatkan 20 pelajar serta seorang guru serta di Klang, membabitkan dua beradik.

Namun, tiada sebarang penutupan sekolah dilakukan setakat ini di Selangor dan penularan virus itu juga terkawal. - Bernama

Artikel berkaitan:

53 murid di Pulau Pinang dijangkiti influenza... dua kelas Tahun Dua SJKC Li Hwa masih ditutup

Penularan wabak influenza A di sekolah... operasi penutupan akan dibuat setelah dapat nasihat KKM

Kes jangkitan influenza A dikesan di Cyberjaya dan Klang