SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memperuntukkan RM5 juta untuk penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini bagi tahun 2019.

Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V. Ganabatirau berkata peruntukan itu diagihkan kepada 97 SJKT di Selangor, yang memperlihatkan keprihatinan pentadbiran itu terhadap masyarakat India di negeri ini.

"Bagi fasa pertama, kerajaan negeri telah mengagihkan RM4.4 juta kepada 95 buah SJKT manakala dua lagi sekolah masih belum membuat permohonan. Kedua-dua sekolah itu amat digalakkan supaya memohon peruntukan bagi manfaat sekolah masing-masing," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Cek Bantuan sekolah SKJT Fasa 1, yang dirasmikan dan disampaikan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Ganabatirau berkata beliau optimis pihak pentadbiran sekolah terlibat akan menggunakan peruntukan itu sebaiknya dalam menyediakan infrastuktur yang kondusif demi keselesaan para pelajar.

"Tanpa infrastuktur yang lengkap, kegiatan atau aktiviti pelajaran dan kokurikulum akan terjejas. Diharap dana ini dapat memberi manfaat selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan pendidikan masyarakat India di Selangor,” katanya. - Bernama

Artikel Menarik:

'Eh, betul ke SMK Saujana Utama? Saya salah sekolah ni' - Misi kejutan untuk pengetua berjaya!

'Mak, lepas balik New Zealand ni ingat nak duduk rumah baru' - Kata terakhir Cikgu Anita buat ibu

'Pak Din 'trending' di Twitter' - Ini jawapan pengetua SMK Convent Bukit Nanas

Cikgu ini wujudkan kebun sayur depan rumah hingga buat ramai tak sabar nak petik

Merabung 'River Trekking' beri pengalaman luar biasa buat cikgu-cikgu SMK Madai