SELAYANG -  Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selayang melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Bulan Bidang Kemanusiaan yang bertemakan 'Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih” di Dataran Salahuddin Al-Ayyubi baru-baru ini.

Pengetua, Mhd Ariff Mhd Shariff berkata, majlis itu sempena Hari Kebangsaan ke-62 yang bertujuan menyuntik elemen kemerdekaan yang lebih mendalam kepada tenaga pengajar dan pelajar.

“Sebagai generasi muda, pelajar perlu menginsafi bahawa dalam ledakan era globalisasi ini, mereka perlu mempunyai ketahanan mental bagi menghadapi cabaran membabitkan penjajahan minda oleh pengaruh asing.

"Mereka perlu melengkapkan diri dengan semangat patriotisme yang tinggi agar menjadi lebih kompetitif dan dinamik," katanya.

“Mereka perlu memahami dan menghayati sejarah perjuangan pejuang kemerdekaan negara bagi mencapai kemerdekaan, seterusnya dapat menjamin keamanan dan kemakmuran negara,” katanya.

Majlis sambutan dimulakan dengan perarakan masuk perbarisan oleh persatuan badan beruniform seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Kadet Remaja Sekolah (KRS), Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pengakap.

Guru SMK Taman Selayang teruja menjayakan Hari kebangsaan Ke-62 dengan memakai pakaian bertemakan Jalur Gemilang.

 

Acara pelancaran turut diserikan dengan gimik dengan menerbangkan drone, nyanyian lagu 'Negaraku' dan lagu patriotik lain.

Sambutan lebih hangat dengan pertandingan pakaian bertemakan Jalur Gemilang yang disertai guru.

Dalam pertandingan itu, Kategori Wanita dimenangi Cikgu Motaza Noor Lasiman manakala Kategori Lelaki, Mhd Ariff.

Sepanjang bulan kemerdekaan ini, SMK Taman Selayang menganjurkan pelbagai acara antaranya pertandingan melukis poster kemerdekaan, pertandingan kuiz, menulis sajak dan melukis peta Malaysia.

Reaksi

"Saya teruja dapat turut serta menjayakan pelbagai program sempena sambutan Bulan Kemerdekaan. Program seumpama ini dapat memupuk dan menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan warga SMK Taman Selayang, saya harap ia akan diteruskan di masa akan datang."

Muhd Azamil Ramli, Pelajar Tingkatan Lima

"Penganjuran program yang bersifat patriotik sangat penting bagi meningkatkan sahsiah pelajar agar cintakan tanah air. Saya harap rakan-rakan menyokong dan mengambil bahagian dalam setiap program yang dianjurkan pihak sekolah."

Nurul Tasnim Mohamad Tarmizi, Pelajar Tingkatan Lima