Berjalan kaki sejauh dua kilometer melalui laluan berbukit dan berbatu merentasi arus deras Sungai Merabung memberi pengalaman luar biasa kepada 30 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kunak, Sabah.

Pengerusi Kelab Rekreasi, Ridzwan Johari berkata, pelbagai halangan terpaksa dilalui semata-mata untuk menikmati keindahan fauna dan flora yang masih dara di sepanjang sungai itu pada Eksplorasi Hutan Sungai Merabung pada 5 Oktober lalu.


"Sungai Merabung yang terletak di Lahad Datu mengambil masa satu jam perjalanan dari sekolah jika menaiki kenderaan.

"Kami tiba di Sungai Merabung jam 8 pagi dan berjalan kali sejauh dua kilometer untuk menikmati keindahan alam sepanjang sungai itu.

"Walaupun laluannya mencabar fizikal dan mental tetapi ia memberi pengalaman yang menyeronokkan dan memberi kepuasan sukar diucap," katanya.

Beliau berkata, walaupun mempunyai pelbagai halangan terutama dalam mengurus peserta yang merupakan rakan sekerja tetapi akhirnya mereka berjaya mencapai matlamat.

"Saya rasa sangat seronok, walaupun banyak cabaran terutama dalam mengurus rakan sekerja menuju ke matlamat yang sama, melawan arus sungai deras dan agak dalam untuk menyeberang ke sebelah sana, memanjat batu, memasuki gua dengan permukaan dinding licin berlumut dan laluan sempit namun ia memberi pengalaman yang sangat manis," katanya.

Salah seorang peserta, Guru Bimbingan dan Kaunseling, Rosman Ismail berkata, mereka dapat meneroka sambil mempelajari keindahan alam sekitar melalui aktiviti santai dan sihat serta mengeratkan silaturahim.

“Ini adalah pengalaman berharga bagi saya dan rakan-rakan kerana laluan sangat mencabar... kami melalui lorong sempit dalam gua, kiri dan kanan dinding batu pada ketinggian 15 meter dari aras laut, seolah-olah saya berada di dunia lain," katanya.

Kata Rosman yang berasal dari Kelantan itu berkata, beliau terpukau dengan keindahan fauna dan flora yang belum terusik di sepanjang Sungai Merabung ibarat 'Lost World Malaysia'.  

Guru-guru dijamu dengan pemandangan indah bagaikan berada dalam filem 'Avatar'.

Sehubungan itu, Cikgu Rosman berharap khazanah alam tersebut dapat dipelihara untuk tatapan generasi akan datang supaya mereka juga dapat menikmati keunikan flora dan fauna sama seperti yang dikagumi mereka.


Sementara itu, Pengetua, Abdul Hussin Madjakinal turut serta dalam eksplorasi berkenaan berkata, beliau teruja melihat landskap, bentuk muka bumi yang indah dan unik tidak pernah dapat dilihat di tempat lain.

“Alhamdulillah, aktiviti eksplorasi ini secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara guru SMK Madai, di mana kita saling tolong menolong dalam mengatasi pelbagai cabaran dan rintangan," ujarnya.

Keindahan alam semula jadi yang tidak pernah diusik.

Aksi cikgu menikmati udara segar sambil melihat keindahan alam semula jadi.

Berenang sambil memegang tali untuk keselamatan menyeberang ke sebelah darat.

Cikgu-cikgu berusaha meneruskan perjalanan dengan memasuki tepi lorong batu licin dan sempit itu.

Reaksi:

“Cabaran yang saya lalui ketika itu memang menyeronokkan dan sangat berbaloi setelah menikmati keindahan alam semulajadi yang belum terusik oleh pembangunan kota, walaupun rasa perit tapi memberi pengalaman manis dalam hidup”

Saidatul Akma Massare
Guru Kaunselor
SMK Madai

“Kepuasan yang tidak boleh terungkap dengan kata-kata. Jika anda mahu sesuatu yang menyegarkan kembali minda dan fizikal, Sungai Merabung adalah pilihan terbaik”

Ruhaida Harom
Guru Pendidikan Jasmani Kesihatan (PJK) dan Sains Sukan
SMK Madai

“Saya berharap kelab ini menjadi kelab yang boleh menyatukan guru-guru dan pelajar-pelajar melalui aktiviti rekreasi, sukan dan aktiviti luar yang santai tetapi penuh dengan pengisian yang tersurat serta menjadi pemangkin kepada pembangunan kendiri dalam kalangan pekerja SMK Madai”

Ridzwan Johari
Guru Sains Sukan
SMK Madai

Artikel lain:

Bila tiba masanya, jenazahku siapa uruskan? - Usaha ustaz ini anjur kursus jenazah buat murid sebak

Cikgu ini sebak terima sebatang lidi sate pemberian anak murid, rupa-rupanya...

Netizan sebak, lidi sate 'penuh makna'

'Mak, lepas balik New Zealand ni ingat nak duduk rumah baru' - Kata terakhir Cikgu Anita buat ibu