Kejohanan Merentas Desa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, berlangsung penuh meriah dengan penyertaan 3,357 pelajar pada 4 Januari lalu.

Pengarah program, Noor Hayati Embong, berkata, pertandingan merentas desa memang acara wajib dinantikan setiap tahun yang memberi semangat kesukanan kepada semua pihak di sekolah.

"Acara ini disertai empat rumah sukan iaitu Temenggung, Bendahara, Syahbandar dan Laksamana.

"Pada pertandingan itu setiap kontinjen rumah sukan akan berentap bersungguh-sungguh untuk merebutkan mata dan tempat terbaik dalam acara," katanya yang juga pengetua sekolah dikenal sebagai SUTAMA itu.

Menurut beliau, semangat setiakawan dalam pasukan tanpa mengira jantina, agama, bangsa dan tingkatan dapat dipupuk dalam usaha mereka untuk meraih kejayaan dan mata demi rumah sukan masing-masing.

Beliau berkata, semua pelajar bersaing secara sihat hingga ke garisan penamat, sama ada pelajar aliran perdana mahupun pendidikan khas.

"Usaha gigih ini boleh diterjemahkan dalam kehidupan mereka bahawa kejayaan boleh digapai dengan usaha keras dan strategi yang berimpak," ujarnya.

Ahli Jawatankuasa (AJK) program, Siti Maslinda Syed Musa, berkata, peserta kejohanan merentas desa itu terdiri daripada semua pelajar sesi pagi dan petang dengan kesemua peserta berjaya menamatkan larian pada kali ini.

Menurutnya, kejohanan tersebut memberi pendedahan kepada pelajar dengan aktiviti sukan yang sihat selain mencungkil bakat.

"Aktiviti ini menyemarakkan semangat bersukan dalam diri pelajar dan mengeluarkan potensi mereka untuk diserlahkan ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Tiga pelajar dinobat sebagai pelari terbaik iaitu bagi Kategori Lelaki, Ahmad Arsyad Muhammad Gani, Tingkatan Lima, dengan catatan masa 35 minit 44 saat (sembilan kilometer);

Muhammad Zaid Abdullah (Tingkatan Tiga) dengan catatan masa 35 minit 13 saat (tujuh kilometer), manakala Kategori Perempuan ialah Nur Annies Syazwani (Tingkatan Lima) dengan catatan masa 35 minit 45 saat (tujuh kilometer).

Katanya, juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa pula dimenangi oleh pasukan rumah Laksamana (Kuning).

Tambahnya lagi, SUTAMA akan bertanding ke peringkat daerah pula pada masa terdekat ini.

Menyemarakkan lagi semangat pelajar dan sekolah, Siti Maslinda berkata setiap tahun juga SUTAMA merangkul johan pada peringkat daerah dan beliau berharap tahun ini juga bertuah.

INFO:

Pelari terbaik Kejohanan Merentas Desa peringkat sekolah

- Ahmad Arsyad Muhammad Gani (Tingkatan Lima); Catatan masa - 35:44 (9 km)

- Nur Annies Syazwani (Tingkatan Lima); Catatan masa: 35:45 (7 km)

- Muhammad Zaid Abdullah (Tingkatan Tiga); Catatan masa: 35:13 (7 km)

 Noor Hayati bersama pelajar menaikkan semangat sebelum larian bermula.

Pasukan Laksamana meraikan kejayaan setelah dinobat juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa kali ke-17, SUTAMA.

Cikgu SMK Saujana Utama yang menjadi tulang belakang menjayakan Kejohanan Merentas Desa kali ke-17, SUTAMA.

Pelajar melakukan aktiviti senam robik sebelum larian bermula.

Artikel lain:

Kronologi kes jangkitan influenza di sekolah, terkini 164 pelajar dan seorang guru dijangkiti

Guru Cemerlang kongsi tip Sejarah SPM 2020 - Kuasai Kertas 1,2 dan 3 untuk dapat markah penuh

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020