KUALA SELANGOR - Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan dijadikan pusat pemindahan banjir untuk 84 penduduk melibatkan 21 keluarga di Kampung Asahan, di sini terpaksa dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air selepas hujan lebat, semalam.

Dianggarkan 30 rumah penduduk di Lorong Tebu, Lorong Pisang dan Lorong Sawit 2 dan Batu 8, Kampung Asahan terjejas akibat limpahan air sungai berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor menjelaskan, mangsa dipindahkan ke SK Pasangan selepas pusat pemindahan banjir itu dibuka pada jam 9.30 jam.

"Sehingga jam 3 petang, mangsa banjir bertambah berbanding 79 penduduk melibatkan 17 keluarga didaftarkan pada tengah hari.

"Setakat ini cuaca dilaporkan baik dan bantuan asas disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor kepada mangsa banjir," katanya.

Shamsul Shahril Badliza yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor berkata, limpahan air disebabkan hujan lebat menjejaskan kawasan rendah di kampung itu.

 Antara rumah penduduk yang dinaiki air selepas hujan lebat.

"Kerja naik taraf rumah pam masih belum selesai lagi dan dijangka siap sepenuhnya dalam Mac tahun depan.

"Buat sementara waktu, pam bergerak digunakan namun tidak dapat mengepam jumlah air yang terlalu banyak. Jadi, JPS akan menambah dua pam lagi dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Terdahulu, isu banjir masih lagi menghantui penduduk apabila lebih 20 rumah di Batu 8, Kampung Asahan, di sini dinaiki air selepas hujan lebat sejak seminggu lalu.

Adun Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menjelaskan, pihaknya sedia maklum dengan rungutan penduduk berhubung isu sama yang kerap berlaku sejak belakangan ini.

Menurut beliau, pihaknya turun meluangkan masa meninjau keadaan rumah penduduk yang terjejas bagi menyelami permasalahan. 

"Untuk makluman, Batu 8 Kampung Asahan ini adalah kawasan rendah yang berisiko dinaiki air selepas hujan lebat berpanjangan.

"Keadaan ini bertambah buruk apabila hujan lebat," katanya.