SUNGAI BULOH: Menjalani sesi persekolahan dalam musim pandemik tidak menjadi penghalang kepada warga Sekolah Kebangsaan Seri Pristana (SKSP) untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang mulia.

Guru Besar SKSP, Zaimi Idris, berkata meskipun penularan kes jangkitan Covid-19 masih belum menurun, pihak sekolah tidak mahu ketinggalan dalam meraikan bulan Ramadan bersama seluruh warga sekolah berkenaan.

"Pelbagai aktiviti disusun sebagai pengisian kepada program Ihya Ramadan anjuran Panitia Pendidikan Islam SKSP dengan mematui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya penularan kes Covid-19 dapat dielakkan.

"Saya mengucapkan tahniah di atas inisiatif yang dibuat oleh Panitia Pendidikan Islam dalam menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini sekali gus memberi peluang kepada murid memanfaatkan bulan mulia ini dengan aktiviti berfaedah," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Ihya Ramadan secara maya di saluran Youtube sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Antara program yang dianjurkan sepanjang Ramadan adalah Tadarus Al-Quran, Portal Kit Ramadan di Hatiku; Forum Perdana dengan kolaborasi Masjid Ijok; Mubarak FM; Pertandingan Mewarna Poster; Pertandingan E-Tazkirah (3 minit) dan Pertandingan Huffaz Cilik.

Sementara itu, bagi merahmati sambutan Ramadan, SKSP melalui prasekolah turut mengadakan program kerjasama dengan Mussala Raudhatus Sakinah membabitkan aktiviti seperti infak beras, tabung pandemik serta sumbangan duit raya.

Mengakhiri ucapannya, Zaimi berharap ibu bapa dan warga sekolah terutama murid -murid dapat meneruskan amalan mulia di bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat baik ketika berada di sekolah atau di rumah.

“Semoga inisiatif yang diambil oleh pihak sekolah ini memberi manfaat kepada kita semua,” kata beliau.

Artikel menarik

'Ayah cakap nak beli komputer riba, tapi tak sempat. Rehatlah ayah, moga tenang di sana'

Biar semakin mencabar, perguruan tetap jadi pilihan