KLANG - Pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai (SKSB) bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menganjurkan Majlis Apresiasi Sukarelawan PIBG SKSB Dihatiku pada 27 Mac baru-baru ini.

Majlis yang julung-julung kali diadakan di SKSB itu adalah sebagai penghargaan kepada petugas Pengoperasian Sekolah Norma Baharu 2.0 Tahun 2021.

Ia secara tidak langsung dapat merapatkan hubungan antara pihak PDRM, RELA, MPKK, JKP, ibu bapa, komuniti dan sekolah, di samping sebagai pasukan sokongan kepada pengurusan sekolah dan PIBG dalam membantu melancarkan program-program sekolah sebelum ini dan juga akan datang.

Guru Besar SKSB, Roslan Zakaria berkata, pihak pengurusan sekolah dan juga PIBG berbesar hati menganjurkan sebuah majlis khas untuk meraikan sukarelawan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan jasa juga bakti kepada sekolah, sepanjang tempoh pengoperasian sekolah norma baharu dan penyuraian murid bermula 1 Mac  lalu.

"Majlis yang diadakan walaupun dalam skala yang kecil dan sederhana dan masih mengikuti SOP yang telah ditetapkan, tetap meriah," ujar beliau.

YDP PIBG, Jaya Kusuma menyerahkan Sijil Penghargaan kepada Pegawai Perhubungan Seranta, IPD Klang Utara, Insp. Mohd Fazlan Rezza, baru-baru ini.

Wakil media, Sarina (kanan) menerima Sijil Penghargaan daripada Jaya. Turut kelihatan, Roslan (tengah).

Antara unit sokongan yang menerima penghargaan pada majlis tersebut adalah, wakil daripada Polis DiRaja Malaysia, pasukan RELA, Sukarelawan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, staff sokongan Perkhidmatan Kawalan dan Keselamatan (Keselamatan) serta Kebersihan Bangunan dan Kawasan (Kebersihan), dan juga pihak media daripada Sinar Harian.

Turut hadir pada majlis tersebut, YDP PIBG, Jaya Kusuma Rusman, Pegawai Perhubungan Seranta, IPD Klang Utara, Insp. Mohd Fazlan Rezza Mazlan, Ketua Balai Polis Meru, Sarjan Sulaiman Abu Samah, dan Pegawai RELA Daerah Klang, Mohd Azri Ahmad Zaini.

Artikel menarik

Jangan semberono pilih kursus pengajian di universiti, ikuti tip ini untuk dijadikan panduan

Pahang juara Pertandingan Bahas Guru Peringkat Kebangsaan 2021