BATU CAVES - Program Pertukaran Pelajar Apec Learning Community Builders (ALCoB) antara Seoul Technical High School (STHS), Korea Selatan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas berlangsung dengan jayanya pada 15 hingga 21 Julai lalu di SMK Sungai Kertas.

Seramai 14 pelajar STHS bersama tiga guru pengiring diketuai Pengetua, Mr Jaekeun Lee mengikuti program tersebut manakala 90 pelajar SMK Sungai Kertas dipilih bagi mengendalikan program antarabangsa pertama anjuran SUTAS yang bertujuan merentas kurikulum ke arah Global Citizenship Education (GCED).

Pengarah program, Cikgu Mohamad Farid Mohamad Fauzi berkata, pelbagai aktiviti menarik telah disediakan buat warga STHS.

Cikgu Mohamad Farid

“Kami mulakan dengan majlis perasmian program yang penuh meriah dengan kehadiran pegawai dari Kementerian Pendidikan (KPM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak dan komuniti setempat.

"Majlis dirasmikan Pengerusi Induk Penggerak Belia Tempatan Majlis Perbandaran Selayang, Nazirul Aqib A Rahim," katanya.

Pihak SMK Sungai kertas menyambut rombongan STHS dengan paluan kompang sebelum persembahan pencak silat, tarian burung merak, bicara berirama dan gamelan oleh pelajar SMK Sungai Kertas.

Sebahagian pelajar SMK Sungai Kertas mengikuti kelas hanbok.

Gamat tengok persembahan K-Pop

Suasana gamat seketika apabila pelajar STHS membuat kejutan dengan persembahan K-Pop.

“Usai majlis perasmian, STHS dan SMK Sungai Kertas memeterai perjanjian kerjasama dalam bidang pendidikan untuk jangka panjang bagi memberi manfaat kepada pelajar kedua-dua negara.

"Kemudian, delegasi dibawa melawat ke bilik-bilik khas diikuti dengan sesi bahasa Inggeris untuk pelajar STHS pada sesi petang," katanya.

Pelajar STHS membuat persembahan K-Pop.

Pada hari berikutnya, peserta mengikuti aktiviti kelas drone dan kelas hanbok (pakaian tradisional Korea) yang dikendalikan guru dan pelajar STHS manakala kelas gamelan dikendalikan pelajar aliran muzik SMK Sungai Kertas.

Hari keempat, rombongan STHS bergerak ke Kolej Vokasional Sungai Buloh bagi Program Perkongsian TVET di Korea dan penerangan tentang Pertandingan Kemahiran Dunia sebelum mengikuti Program Homestay, iaitu majlis penyerahan anak angkat kepada keluarga terpilih.

Rombongan Korea Selatan turut dibawa melawat ke Perkampungan Orang Asli Kampung Ulu Batu, Ulu Yam bagi program pertukaran budaya bersama masyarakat orang asli kemudian, mereka melawat kuil Batu Caves dan malamnya bertolak ke Melaka untuk sesi lawatan seterusnya.

Di Melaka, pelbagai lokasi menarik sempat dikunjungi, antaranya, Kota A Famosa, The Stadthuys, Muzium Kesultanan Melayu Melaka dan Menara Tamingsari.

Mereka juga melawat Masjid Selat, Villa Sentosa – Rumah tradisional dan tidak ketinggalan menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot.

Hari terakhir iaitu hari ketujuh, rombongan melawat sekitar Putrajaya dan mengikuti aktiviti bebas di Mitsui Premium Outlet KLIA sebelum ke KLIA untuk pulang ke destinasi.

Pelajar SHTS mengikuti kelas gamelan.

Program lanjutan

Sementara itu, guru SMK Sungai Kertas, Mohd Khalid Mustaffa yang bertugas sebagai pegawai perhubungan berkata, pengalaman menjaga guru dan pelajar STHS selama seminggu sangat menyeronokkan.

“Sikap positif mereka yang sangat mementingkan masa dan disiplin tinggi membuatkan tugas saya menjadi lebih mudah menguruskan mereka, sepanjang seminggu tiada sebarang masalah yang timbul," ujarnya.

Mohd Khalid

Dalam pada itu, Pengetua, Siti Aida Joned berkata, Program Pertukaran Pelajar ALCoB merupakan lanjutan daripada Program Pertukaran Guru Korea-Malaysia (KOMTEP) 2018.

“Dalam KOMTEP 2018, Cikgu Mohamad Farid terpilih mengikuti program tersebut selama tiga bulan.

“Justeru, saya sangat berbesar hati apabila ALCoB memilih SMK Sungai Kertas sebagai destinasi program pertukaran pelajar dan berharap program sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang, dengan lebih banyak aktiviti bermanfaat untuk semua,” ujarnya.

Siti Aida

Cikgu Mohamad Farid memperkenalkan pakaian tradisional Malaysia kepada pelajar STHS ketika mengikuti Program KOMTEP di Korea Selatan.

Menaiki beca ketika sesi lawatan ke Melaka.  

Aktiviti bersama keluarga angkat.

Kelas hanbok

Beberapa pelajar SHTS bersama keluarga angkat yang terpilih dalam Program Pertukaran Pelajar ALCoB. 

REAKSI

1) “Peluang memakai hanbok dan menghasilkan aksesori hanbok seperti kipas tangan dan beoseon (stoking) cukup mengujakan. Saya seronok sangat."

- Nur Sabrina Sapri

Pelajar Tingkatan Tiga

2) “Sebelum ini, saya agak malu bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi melalui program berkenaan, mahu atau tidak, saya terpaksa dan ia jelas memberi kesan positif terhadap tahap keberanian saya."  

- Dewi Aisyah Mohd Zaenuri

Pelajar Tingkatan Tiga

3) “Teruja melihat kesungguhan mereka ketika belajar dalam kelas gamelan dan hasilnya, mereka sudah boleh memainkan lagu Wau Bulan, Lenggang Kangkung dan lagu tradisional Korea, Arirang setelah tiga jam belajar."  

- Noorsharleena Ariffin

Pelajar Tingkatan Tiga

ARTIKEL MENARIK:

Walaupun hanya setahun berkhidmat di SMK Puncak Alam, pengetua ini sebak pada hari persaraan

'Saya bangun jam 4 pagi masak, lepas tu solat tahajud dan mengaji dengan nenek'

"Berehatlah muridku..."- Catatan hati guru arwah Mejar Zahir ini buat ramai sebak

Nak buat aksi terjun pun masih laung nama sekolah

Ramai meremang dengar suara merdu dua cikgu cantik dari Kuala Pilah ini