SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari (PDMD) 2019 selepas menewaskan SMK Seksyen 7 Shah Alam 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Arena, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), kelmarin.

Ia sekali gus menjadi kejuaraan ketiga buat SMK Tinggi Kajang dalam penganjuran kejohanan yang sudah masuk edisi keenam tahun ini.

Naib johan, SMK Seksyen 7

Turun sebagai pasukan pilihan, SMK Tinggi Kajang bagaimanapun dipaksa bekerja keras pada separuh masa pertama apabila SMK Seksyen 7 mempamerkan aksi bertahan cukup baik menafikan setiap asakan pasukan kendalian Mohd Suhaiziey Fauzi itu.

Malah, pasukan yang turut dikenali dengan nama Kahisan itu juga terlepas peluang untuk berada di depan selepas Nur Nabil Nasrun gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-34.

Tempat ketiga, SMK Bandar Tasik Puteri

Gol yang ditunggu SMK Tinggi Kajang hanya tiba pada minit ke-50 selepas Muhammad Lukman Hakim Mohd Azli bijak melambungkan bola melepasi penjaga gol, Rifqi Mifzal Tajuwid sebelum Muhammad Danish Haikal Haili menyumbat dua lagi gol pada minit ke-53 dan 56.

Hadiah dan piala kejuaraan disampaikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, Pengerusi PDMD, Datuk Emran Kadir berkata, kejohanan tersebut menjadi platform terbaik bagi mencungkil bakat muda yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, setakat ini kejohanan tersebut telah melahirkan 41 pemain berkualiti yang bermain di peringkat negeri dan seorang pemain kebangsaan.

“Banyak kelab bola sepak di luar sana menantikan kejohanan ini sebagai sumber untuk mereka mendapatkan pemain baharu di peringkat akar umbi.

“Sebahagian besar daripada mereka merupakan pelajar Tingkatan Lima dan akan berhenti sekolah. Jadi, ini peluang untuk mereka merekrut pemain-pemain ini,” katanya.

Kejohanan yang mendapat tajaan Kumpulan Perangsang Selangor ini menyediakan hadiah lumayan. Selain RM10 ribu dan RM7 ribu dirangkul Johan dan naib johan, pemenang ketiga dan keempat membawa pulang RM5,000 dan RM3,000. Sinar Harian adalah akhbar rasmi manakala GPS Bestari adalah portal rasmi kejohanan.

Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR

Artikel lain:

'Tak sangka pergi pun bersama... ibu sebak cerita rutin harian anak-anaknya mengaji al-Quran'

Calon SPM derita kanser ovari rindu kembali ke sekolah

Link Soalan Percubaan UPSR 2019 - Penting untuk calon buat latih tubi