KLANG - Kerajaan sedang merangka dasar baharu untuk mewujudkan silibus pengkomputeran dan teknologi digital di peringkat sekolah, kolej kemahiran serta vokasional.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pelajar di negara ini perlu diberi pendedahan awal mengenai perkembangan revolusi digital sekali gus bersedia untuk berdepan dunia pada masa depan.

“Bagi tujuan ini kita akan bekerjasama dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk melihat dari aspek pendidikan dan Kulasegaran (Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran) dalam konteks pekerjaan.

“Kita turut mendapatkan pendapat Syed Saddiq (Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman) bagi tujuan ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Dewan Dr V David di Kolej Institut Teknologi Pekerja (WIT), Pandamaran di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kolej WIT, Tan Sri Zainal Rampak; Ahli Lembaga Pengarah Kolej WIT, K Alaga Kandasamy dan Ketua Pegawai Operasi (Kursus Korporat) Kolej WIT, Zulkifli Zainal.

Gobind berkata, cadangan itu akan dilaksanakan secepat mungkin.

Dalam perkembangan lain, Gobind berkata, Kolej WIT memainkan peranan penting dalam membentuk dan menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran serta relevan bagi mendepani era digital pada masa kini.

“Difahamkan ia adalah satu-satunya kolej kemahiran di negara kita dan mungkin juga di seluruh dunia yang ditubuhkan, ditaja dan dikendalikan oleh Kesatuan Pekerja Kesatuan Pekerja-pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU).

“Saya yakin Kolej WIT akan terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti,” katanya.

Artikel menarik:

Amalkan tiga surah resipi lulus cemerlang peperiksaan

Pelajar kelas belakang... cikgu ini kongsi enam kelebihan ajar mereka

22 ulasan yang boleh diguna pakai guru untuk slip peperiksaan

Seronok rupanya kaedah 'Flipped Classroom' - Untuk budak sekarang

Patutlah Pasti jadi pilihan ibu bapa, pengarahnya kongsi kelebihan hantar anak di sini