SERDANG - Sebagai solidariti bersama kerajaan dalam usaha membendung penularan Covid-19, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif dengan memberi bantuan penyediaan tempat penyimpanan dan bungkusan kit bantuan kepada petugas barisan hadapan dan pesakit Covid-19.

Bantuan yang diberikan adalah berbentuk agihan 1,600 pek makanan dan set peralatan perlindung diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan serta agihan 5,500 pek makanan dan kit kebersihan diri kepada pesakit yang berjumlah RM660,210.

Aktiviti pembungkusan kit itu yang diadakan dari 26 Februari hingga 1 Mac 2021 di Pusat Perhubungan Alumni, Bangunan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (TNCPI) UPM, melibatkan 100 sukarelawan terdiri daripada pelajar di kolej kediaman, kakitangan UPM, ahli Sahabat Masjid UPM, sukarelawan Chapter Alumni Yosh UPM, sukarelawan YOSH MyFundAction dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM,  Prof Dr Arifin Abdu berkata, inisiatif Pusat Perhubungan Alumni UPM bersama MyFundAction itu selari dengan usaha melahirkan graduan yang holistik berteraskan kesukarelawanan yang menjadi elemen utama memupuk budaya cakna pelajar dalam menangani krisis seperti pandemik Covid-19.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Prof Madya Dr Arba’ie Sujud pula berkata, alumni menjadi penghubung agensi luar ke dalam UPM seperti badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalinkan aktiviti kerjasama.

"Contohnya peranan yang dimainkan oleh Chapter Alumni Yosh UPM dalam menjayakan program sumbangan ini sekali gus membuktikan kepada orang luar mengenai fungsi UPM sebagai lokasi untuk anak muda bersama menggembleng tenaga secara kolektif, dan bukan mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata,” katanya.

Artikel menarik

5 perkara yang perlu pelajar fikirkan sebelum buat pilihan pengajian. Ikuti pandangan guru ini

SMK Sungai Layar mengorak langkah ke arah Pembestarian dan Pelestarian Layar Hijau