Setelah mencapai pencapaian cemerlang dengan pelbagai anugerah peringkat kebangsaan dan antarabangsa tahun lalu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama, Sungai  Buloh, Selangor dipilih sebagai lokasi lawatan penanda aras Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) pada 6 Februari lalu.

Guru Penyelaras Inovasi, Siti Maslinda Syed Musa berkata, rombongan dari KISAS dibawa melawat ke makmal sains, bilik pembelajaran abad ke-21 (PAK21), Laman Seni dan Laman Surau.

"Sekolah ini dipilih kerana pencapaian inovasinya yang 'outstanding' selain komitmen padu daripada pasukan inovasi sekolah.

"Kami menonjolkan konsep bahawa inovasi bukan sahaja membabitkan kurikulum sahaja tetapi juga bidang pentadbiran," katanya.

Sememangnya kejayaan sekolah yang dikenal dengan nama ringkasnya SUTAMA ini, adalah disebabkan sokongan padu daripada pengetuanya, Noor Hayati Embong; Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan koperasi yang banyak membantu dalam aspek moral serta kewangan.

Cikgu Siti Maslinda berkata, pada sesi lawatan itu, Kelab Inovasi SUTAMA berkongsi sejarah penubuhan kelab tersebut yang diwujudkan pada 2014 dan bagaimana penglibatan kelab dalam aktiviti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Guru Penolong Kanan Akademik dan Pentadbiran, Hasbe Omar (tengah) ketika mempengerusikan Majlis Lawatan Penanda Aras KISAS.

"Kami turut berkongsi dengan romnbongan lawatan dari KISAS mengenai bagaimana cara untuk mencungkil bakat pelajar dalam bidang inovasi melalui aktiviti STEM dan Teknologi Hijau pada minggu Karnival Sains dan Matematik.

"Lebih penting kami turut berkongsi mengenai saluran yang sesuai untuk mendapatkan dana dan tajaan terutama melibatkan perbelanjaan besar bagi menyertai pertandingan di luar negara," katanya.

Menurut beliau lagi, pihak KISAS tertarik dengan produk yang berasaskan herba serta robotik yang dihasilkan Kelab Inovasi Sutama.

"Rombongan dari KISAS juga kagum dengan penghasilan produk inovasi pengurusan sekolah iaitu ReBook yang menggantikan Buku Daftar Murid kerana antara kelebihannya adalah tiada berlaku keciciran maklumat bagi setiap pelajar," katanya.

Sementara itu, Noor Hayati mengakui SUTAMA berperanan sebagai katalis kepada sekolah lain untuk menggerakkan inovasi di sekolah.

"Selain rekacipta dan penghasilan produk baharu, inovasi juga berperanan mewujudkan persekitaran dan iklim yang kondusif kepada lebih 3,400 orang pelajar sekolah itu.

"Tonggak utama kejayaan dan kekuatan dalam inovasi adalah berakar umbi daripada semangat kerja berpasukan yang mantap sama ada dalam kalangan pentadbir, guru, kakitangan sokongan, pelajar dan PIBG," katanya.

Cikgu Farhanah menyampaikan sijil penghargaan lawatan penanda aras kepada Cikgu Hasbe.

Rombongan KISAS ketika di Laman Surau Ar-Rayyan.

 Guru Kelab Inovasi SUTAMA turut bergambar di Laman Surau Ar-Rayyan.

Rombongan lawatan penanda aras dari KISAS ketika diberi penerangan di bilik mesyuarat SUTAMA.