SELAYANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menganjurkan Program Ceria Kembali Ke Sekolah dengan menyalurkan bantuan persekolahan kepada anak-anak yatim dan asnaf sekitar Selayang.

Pengarah Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, sejumlah RM20,262 dibelanjakan bagi program itu dengan kerjasama pertubuhan dan agensi kerajaan.

“Penerima sumbangan adalah seramai 150 orang terdiri anak yatim dan asnaf dari Asrama Damai Rumah Anak-Anak Yatim Kuang, Sweet Care Welfare Society Home, Rumah Penyayang Darul Ilmi Gombak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Gombak. Bantuan turut disalurkan kepada 39 anak kakitangan MPS yang memerlukan.

“Penerima dibawa ke Pasaraya Mydin yang turut memberikan harga istimewa untuk membeli keperluan pakaian seragam, beg sekolah dan peralatan menulis,” katanya.

Menurutnya, sumbangan tersebut diharapkan memberikan semangat kepada golongan memerlukan itu untuk meneruskan sesi pembelajaran bagi sesi 2017 nanti.